BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Apa hukum kerja yg membantu org utk buat loan. Sebagai contoh, kerja yg menjual sesuatu produk dan customer yg membeli 80% akan membuat loan untuk membeli produk kita. Adakah kita menggalakkan utk berbuat riba? 
 

saya tak yakin dgn islamik loan sbb uai kata apa yg membebankan atau menindas adalah riba. In fact, islamic loan lg menindas berbanding konvensional dalam certain measure.

 

so kalau saya nak kerja jual kereta atau hartanah, apakah hukumnya


message user image

Jawapan  

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, membantu seseorang untuk membuat pinjaman (konvensional) untuk mendapatkan sesuatu produk adalah berdosa kerana bersubahat dalam perkara haram iaitu mengandungi unsur riba yang telah diputuskan bertentangan dengan syarak. Perlu difahami bahawa setiap produk pembiayaan yang dikeluarkan oleh perbankan Islam adalah berbeza dengan produk perbankan konvensional khususnya kaedah yang digunakan dalam akad pembiayaan tersebut. 

Sebagai contoh, dalam konteks pembiayaan kenderaan, perbezaan utama terletak pada cara akad dibuat. Pembiayaan perbankan Islam menggunakan Ijarah Thumma al-Bai’ (AITAB), iaitu gabungan sewa dan jual beli, manakala perbankan konvensional menggunakan pinjaman beserta faedah (interest) yang mengandungi unsur riba.

Perbezaan ini bukan pada jumlah bayaran bulanan sahaja, tetapi pada hakikat akad. Dalam kaedah pembiayaan perbankan Islam, bayaran bulanan adalah keuntungan hasil jual beli dan sewa, bukannya faedah pinjaman. Oleh itu, walaupun kadang-kadang bayaran Islamik sedikit lebih tinggi, ia tetap halal, manakala perbankan konvensional tetap mengandungi riba walaupun jumlah bulanan nampak hampir sama.

Perbezaan lain antara produk konvensional dan juga produk patuh syariah adalah pada objek transaksi antara pihak bank dan juga pelanggan, dalam produk konvensional objek transaksi yang diniagakan adalah wang yang dipinjamkan kepada pelanggan, manakala bagi produk patuh syariah objek transaksinya adalah kereta yang dibeli oleh bank dan kemudian disewakan kepada pelanggan.

Oleh yang demikian, walaupun jumlah bayaran bulanan pembiayaan perbankan Islam dan konvensional nampak hampir sama, hakikatnya tetap berbeza dari sudut syariah. Pembiayaan perbankan Islam adalah berdasarkan akad jual beli dan sewa (Ijarah Thumma al-Bai’), jadi bayaran yang sedikit lebih tinggi tetap halal dan tidak dikira menindas kerana ia keuntungan dari akad, bukan faedah. Produk perbankan konvensional pula menggunakan akad pinjaman dengan faedah, dan itulah yang dikira riba walaupun secara zahir kita hanya membayar dari poket sendiri. Jadi, yang menentukan halal atau haram bukan pada jumlah yang dibayar, tetapi pada jenis akad yang digunakan. Sebagai seseorang yang mengurus dan membantu pelanggan mendapatkan produk (seperti rumah, kereta dan sebagainya), adalah sebaiknya membantu pelanggan menggunakan pembiayaan perbankan Islam yang telah disahkan bertepatan dengan Syariah. 

Hukum kerja jual beli kereta dan hartanah adalah diharuskan selama ia tidak melibatkan perkara yang dilarang dari segi syarak seperti penipuan atau ruba.

 والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 8

message user image