Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Ustaz,
Saya ingin bertanya berkaitan hukum menjual rumah yang mempunyai kaveat bank? Rumah taman ini ada masalah di mana :
1) Pemaju - memajukan tanah bersama tuan tanah tetapi masih ada bayaran tertunggak tetapi tidak di ketahui jumlahnya. Pihak tuan tanah telah menyerah kuasa kepada pemaju.
2) Investor - Pemaju membuka share untuk sesiapa sahaja untuk invest ke atas taman/rumah. Jumlah mungkin tidak banyak seperti suku dari harga rumah.
3) Investor/ Pemaju - membuat pinjaman bank untuk memajukan tanah tersebut.
4) Ada individu lain yang meletakkan deposit ke atas rumah tersebut tetapi tidak dapat diteruskan atas sebab kaviet bank.
Soalan:
1)Sekiranya tuan tanah menjual rumah tanpa kebenaran bank/ pemaju disebabkan pemaju muflis walaupun kaveat bank dah tamat sebelum di kaveat kembali adakah hukum harus dan duit diterima halal? 2)Penjualan melalui orang perantara dimana tuan tanah menukar nama ke atas orang ke-3 iaitu salah seorang ahli taman. Adakah orang perantara menerima duit jualan rumah itu juga hukum harus dan halal? Dan beliau ingin menyumbang hasil jualan ke taman sebagai saguhati. Apakah hukumnya menerima sumbangan tersebut? Dan semua ahli taman mengetahui status rumah tersebut yang ada unsur gharar fahish.
Harga yang dijanjikan oleh pemaju 20 tahun dulu mungkin tidak sama dengan harga sekarang yang di jual oleh pihak tuan tanah mengikut jalan belakang. Adakah ketidakpastian ini boleh di kira sebagai diharuskan.
Mohon Ustaz menjawab permasalahan ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara asasnya, menjual rumah yang masih terikat dengan hak pihak lain seperti bank, pemaju atau pelabur tanpa mendapat persetujuan mereka serta tanpa menyelesaikan hak-hak yang berkaitan terlebih dahulu adalah tidak harus menurut syarak. Hal ini kerana transaksi tersebut melibatkan harta yang masih mempunyai hak pihak ketiga dan boleh membawa kepada pengambilan hak orang lain tanpa kebenaran.
Sehubungan itu, hasil jualan yang diperoleh daripada urus niaga sedemikian tidak boleh dianggap bersih sepenuhnya daripada sudut syarak sekiranya hak-hak pihak yang berkepentingan masih belum diselesaikan.
Orang perantara yang tahu keadaan ini serta membantu urus niaga “jalan belakang” juga tidak harus mengambil keuntungan daripadanya. Jika dia menyumbang hasil tersebut kepada taman, menerima sumbangan itu juga adalah bermasalah kerana ia berpunca daripada harta yang tidak jelas status halalnya.
Dalam isu ini, persoalan mengenai perbezaan harga asal yang dijanjikan oleh pemaju sekitar 20 tahun lalu berbanding nilai pasaran semasa bukanlah isu utama. Sebaliknya, perkara yang lebih penting ialah status pemilikan yang belum bersih, kewujudan hak pihak ketiga seperti bank, pemaju, pelabur atau individu yang mempunyai kepentingan terhadap rumah tersebut, di samping wujudnya unsur gharar (ketidakpastian) dan potensi berlakunya kezaliman terhadap pihak yang mempunyai hak.
Sekian, terima kasih.