Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
saya ada masalah berkaitan dengan lintasan hati, selalu sangat berlaku sampai ke tahap kadang-kadang saya dah tak boleh bezakan sama ada itu lintasan hati atau dari diri saya. sejak saya ingat nak dekat dgn Allah saya dapat lintasan hati aku Kristian atau Ya Allah jauhlah aku dari Kristian dan was was bila ambik wuduk dan beribadah..saya jadi takut penat sangat..Saya percaya Allah itu ada.Nabi Muhamad rasul.Tapi sering diganggu sampai saya menangis.kadang2 saya pukul dada saya hantuk kepala saya.saya jadi mengigil.
Soalan Saya:
1) Pernah suatu hari saya serabut tiba saya dalam sedar tidak sedar hati teringat nk masuk Kristian dengan gerakan tangan tapi bukan simbol ke arah agama lain.cepat cepat saya istifar dan mengucap buat solat taubat.saya teringat kenapa ni saya jadi camni.saya nangis dan nangis sedih Ya Allah kenapa saya dapat ujian begini..saya nak Allah tp di uji begini..
Saya tidak pernah hina Allah saya percaya Allah ada..saat saya nak baiki diri nak memperbanyak ibadah saya di uji begini.semasa pergi buat umrah Alhamdulillah Allah bagi saya tenang hilang pemikiran begini.bila balik datang lagi pemikiran begini.pemikiran tu adakah saya dikira murtad?
2)Bagaimana dengan perkahwinan saya?saya takut terbatal.
3) Macam mana nak hentikan diri saya daripada memikirkan tentang benda berikut ataupun saya tidak layan jika kata-kata tu berada dalam pemikiran saya?
Saya harap soalan saya ni diberikan perhatian sebab saya takut sangat-sangat menganggu keadaan saya dalam melakukan ibadah dan urus rumah tangga. Terima kasih
Jawapan
1. Berdasarkan situasi dan persoalan yang puan nyatakan, ia tidak dihukumkan sebagai murtad semata-mata kerana lintasan hati yang datang tanpa kerelaan dan dibenci oleh puan.
Ia sebagaimana hadis Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Beberapa orang sahabat Nabi SAW datang menemui Baginda lalu berkata:
Maksudnya : Sesungguhnya kami mendapati dalam diri kami lintasan yang sangat berat sehingga kami tidak sanggup mengucapkannya. Baginda bertanya: "Benarkah kamu mendapatinya? Mereka menjawab: Ya. Baginda bersabda: "Itulah tanda keimanan yang jelas."
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan bahawa maksudnya ialah syaitan hanya mengganggu orang yang beriman. Perasaan benci terhadap lintasan tersebut dan usaha menolaknya adalah bukti bahawa hati masih dipenuhi iman.
Selain itu sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : Sesungguhnya Allah memaafkan umatku terhadap apa yang dibisikkan oleh hati mereka, selama mereka tidak melakukannya atau melafazkannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjadi asas bahawa lintasan hati yang tidak disengajakan tidak dikira sebagai dosa, apatah lagi menyebabkan seseorang menjadi murtad.
Murtad hanya berlaku apabila seseorang dengan sengaja, sedar, memilih serta meredai kekufuran, sama ada melalui kepercayaan, perkataan atau perbuatan yang jelas menunjukkan penolakan terhadap Islam. Adapun lintasan yang datang tanpa kehendak diri, kemudian dibenci dan ditolak, tidak termasuk dalam kategori tersebut.
Puan juga menyebut bahawa ketika menunaikan umrah, lintasan tersebut hampir hilang. Ini menunjukkan bahawa apabila hati lebih tenang dan dekat dengan Allah, gangguan itu berkurangan. Keadaan ini juga selari dengan sifat waswas yang sering berubah mengikut keadaan seseorang.
2. Perkahwinan puan kekal sah dan tidak terbatal. Perkahwinan tidak terbatal hanya kerana seseorang mengalami lintasan waswas mengenai akidah. Selagi seseorang tidak benar-benar keluar daripada Islam dengan pilihan dan kerelaannya, maka hukum asalnya ialah dia masih seorang Muslim.
Dalam kaedah fiqh disebut:
Maksudnya : Keyakinan tidak hilang hanya kerana keraguan.
Secara pasti puan sangat yakin dengan Islam, beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, malah menangis kerana takut kehilangan iman. Oleh itu, keraguan yang timbul akibat waswas tidak boleh menghilangkan keyakinan tersebut.
3. Antara cara mengatasi waswas :
Di samping itu, seandainya lintasan sentiasa berulang, sukar dikawal, puan akan menangis, menggigil, memukul dada dan menghantukkan kepala kerana terlalu tertekan , maka keadaan ini juga mungkin menunjukkan gangguan waswas yang memerlukan penilaian profesional. Mendapatkan bantuan daripada pakar psikiatri atau ahli psikologi klinikal bukan bermakna iman lemah, bahkan ia adalah satu ikhtiar yang diharuskan dalam Islam sebagaimana kita mendapatkan rawatan bagi penyakit fizikal.
Sekian, terima kasih