BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Permohonan Pandangan Hukum Mengenai Penggunaan Kemudahan Bersama Oleh Pemilik Yang Gagal Membayar Yuran Penyelenggaraan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya merupakan Pengerusi Management Corporation (MC) bagi sebuah skim strata di Selangor.

Saya ingin memohon pandangan hukum daripada pihak Mufti Selangor berhubung isu berikut:

Di bawah pengurusan strata, semua pemilik petak diwajibkan membayar yuran penyelenggaraan dan dana penyelenggaraan sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang. Kutipan ini digunakan untuk membiayai penyelenggaraan harta bersama seperti lif, lampu, kebersihan, keselamatan, pam air, sistem kebakaran dan lain-lain kemudahan yang dinikmati oleh semua penduduk.

Namun demikian, terdapat segelintir pemilik yang dengan sengaja enggan atau culas membayar yuran penyelenggaraan dalam tempoh yang lama, walaupun mereka berkemampuan. Pada masa yang sama, mereka terus menggunakan kemudahan bersama seperti lif, kawasan parkir, laluan, kawalan keselamatan dan kemudahan lain yang dibiayai oleh pembayaran pemilik-pemilik yang patuh.

Sehubungan itu, saya ingin memohon penjelasan hukum Islam mengenai perkara berikut:

  1. Apakah hukum seseorang yang sengaja tidak membayar yuran penyelenggaraan sedangkan dia berkemampuan, tetapi terus menikmati kemudahan bersama yang dibiayai oleh orang lain?
  2. Adakah perbuatan tersebut termasuk mengambil hak orang lain secara batil, menzalimi pemilik-pemilik lain atau memakan harta orang lain tanpa hak?
  3. Apakah tanggungjawab dan dosa yang ditanggung oleh pemilik yang sengaja mengabaikan kewajipan tersebut?
  4. Apakah nasihat pihak Mufti kepada masyarakat Islam agar menunaikan tanggungjawab membayar yuran penyelenggaraan demi menjaga maslahah bersama?

Saya berharap pihak Mufti dapat memberikan pandangan hukum yang jelas berserta dalil daripada al-Quran, hadis dan pandangan fuqaha. Pandangan tersebut akan digunakan sebagai bahan pendidikan dan peringatan kepada penduduk melalui papan kenyataan serta media sosial rasmi Management Corporation, dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pematuhan terhadap tanggungjawab bersama.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan, pembayaran yuran penyelenggaraan bagi sebuah skim strata merupakan suatu kewajipan yang ditetapkan oleh undang-undang serta dipersetujui oleh setiap pemilik petak apabila mereka memiliki sesuatu unit strata. Kutipan tersebut merupakan tanggungjawab setiap individu yang terlibat bertujuan memastikan harta bersama sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan boleh dinikmati oleh semua penghuni. Pematuhan tanggungjawab atau akad yang dipersetujui mestilah dibuat dilaksanakan dengan baik. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Seseorang yang sengaja tidak membayar yuran penyelenggaraan merupakan suatu perbuatan mengabaikan kewajipan yang telah dipersetujui bagi semua pemilik petak strata. Walau bagaimanapun, ia bukanlah dikategorikan sebagai mengambil hak orang lain secara batil, namun ia telah melanggar perjanjian yang ditetapkan. Adalah sebaiknya tuan selaku pengerusi Management Corporation (MC) bagi skim Strata Selangor merujuk kepada pihak pengurusan dan pentadbiran skim strata untuk makluman supaya pihak pengurusan membuat semakan bayaran penyelenggaraan supaya tiada pihak yang terlepas pandang, mengabaikan bayaran tersebut atau memberi peringatan supaya setiap perjanjian dipatuhi. 

Sebagai individu yang tinggal di kawasan perubahan yang berkongsi banyak kemudahan harta awam bersama khususnya penghuni sesuatu strata, hendaklah mematuhi setiap perjanjian yang dibuat serta saling menjaga hak setiap individu demi kemaslahatan bersama.

 والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 5

message user image