BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

       Seorang Isteri telah failkan tuntutan utk bercerai kerana suaminya berlaku curang dan mengaku pernah berzina. Dalam masa yang sama si suami mendapati,si isteri pernah juga berlaku curang tapi si isteri mengaku tidak rela.. si isteri mengatakan hanya berlaku sentuhan di bahagian buah dada nya, sentuhan sahaja tiada perlakuan lain. Si isteri tidak memberitahu pada si suami kerana tidak mahu aib diketahui orang lain. Tetapi isteri mengatakan telah bertaubat nasuha. Kes si isteri berlaku pada tahun 2022. Lelaki tersebut merupakan jiran sebelah rumah serta suami orang.  Sebelum ini pernah terbaca perbualan di aplikasi WhatsApp antara isteri dan lelaki tersebut berkenaan hal yang tidak sesuai.tapi sisauami masih berdiam. 

         Hal curang isteri hanya di ketahui oleh si suami setelah si suami berlaku curang pada tahun 2026. Si suami mahu berpoligami sbb mahu bertanggungjawab pada wanita yang telah si suami sentuh. Pada mula nya si isteri membantah. Tapi setelah hal isteri pada tahun 2022 diketahui oleh si suami, si isteri akur. Tapi menukar fikiran tidak mahu berpoligami dan memohon cerai.

       Soalan pertama saya,  bolehkah si suami berjumpa dgn suami orang (jiran sebelah) yang telah menyentuh isteri utk mendapatkan cerita yang sebenar, kerana si suami curiga dan rasa jawapan yang diberikan oleh si isteri tidak logik sbb sentuhan tanpa rela umpama mencabul. Si isteri juga pernah tergagap-gagap ketika ditanya soalan "upah apa yang pernah diberikan pada suami orang tersebut"? Si suami masih lagi ingin menyelamatkan perkahwinan mereka..mohon bantu. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Persoalan tuan berhubung sama ada si suami boleh berjumpa dengan lelaki (jiran sebelah) yang didakwa telah menyentuh si isteri , bagi mendapatkan cerita sebenar perlu dinilai dengan penuh cermat dan hikmah, lebih-lebih lagi apabila tujuan tuan adalah untuk menyelamatkan rumah tangga atau mempertahankan hak-hak dalam perkahwinan.

Pada asasnya, suami boleh bertemu dengan lelaki tersebut sekiranya pertemuan itu benar-benar bertujuan mendapatkan penjelasan bagi membantu menyelesaikan kemelut rumah tangga. Namun, pertemuan tersebut hendaklah dilakukan dengan beradab, tanpa ugutan atau kekerasan, tanpa membuka aib kepada orang lain, serta tanpa membuat sebarang kesimpulan hanya berdasarkan sangkaan atau dakwaan sebelah pihak.

Dalam masa yang sama, si suami juga perlu menyedari bahawa usaha tersebut mungkin tidak memberikan kepastian yang mutlak. Hal ini kerana lelaki berkenaan berkemungkinan mempunyai kepentingan untuk menafikan, mengurangkan, atau mengubah fakta bagi melindungi dirinya atau keluarganya. Oleh itu, pengakuan atau penafiannya tidak semestinya dapat menyelesaikan isu yang sedang dihadapi.

Memandangkan si isteri telah memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah, maka adalah lebih wajar sekiranya si suami memberi tumpuan kepada proses yang telah ditetapkan oleh mahkamah. Antara langkah yang boleh diambil ialah:

  1. Menghadiri sesi sulh atau mediasi dengan hati yang terbuka serta memberi kerjasama yang sewajarnya.
  2. Sekiranya si suami masih berhasrat untuk mempertahankan perkahwinan, fokuskan usaha kepada sama ada kedua-dua pihak masih mempunyai kesediaan untuk membina semula kepercayaan, memperbaiki komunikasi dan meneruskan kehidupan berumahtangga.
  3. Elakkan daripada terlalu mencari atau menyiasat setiap perincian kesilapan lampau sekiranya perkara tersebut tidak lagi memberi manfaat kepada penyelesaian konflik, bahkan hanya berpotensi menambah syak wasangka dan mengeruhkan lagi keadaan.

Sekiranya akhirnya nanti kedua-dua pihak tidak lagi mampu hidup bersama secara aman dan harmoni, maka penyelesaian melalui saluran Mahkamah Syariah adalah jalan yang lebih baik dan lebih teratur berbanding membiarkan konflik berlarutan dalam keadaan penuh syak wasangka dan pertelingkahan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image