BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Pertanyaan Mengenai Hukum dan Pengecualian Berkhatan bagi Anak Perempuan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Tuan/Puan,

Saya ingin mendapatkan penjelasan berkaitan hukum berkhatan bagi anak perempuan.

Anak perempuan saya kini berusia 7 tahun dan masih belum berkhatan. Saya telah bertanya kepada pihak hospital kanak-kanak mengenai prosedur tersebut dan dimaklumkan bahawa proses berkhatan dilakukan menggunakan kaedah gunting serta tanpa bius.

Saya berasa risau kerana anak saya sudah semakin besar dan mungkin akan berasa takut, sakit atau mengalami trauma semasa prosedur tersebut. Sebagai seorang ibu, saya sangat kasihan dan bimbang terhadap keadaan emosi serta keselamatannya.

Sehubungan dengan itu, saya ingin bertanya:

  1. Adakah saya masih perlu meneruskan khatan untuk anak perempuan saya pada usia ini?
  2. Adakah terdapat sebarang pengecualian sekiranya prosedur tersebut boleh menyebabkan kesakitan, ketakutan atau trauma kepada anak?
  3. Adakah dibenarkan untuk tidak meneruskan khatan berdasarkan nasihat doktor atau faktor kesihatan dan emosi anak?
  4. Sekiranya perlu dilakukan, adakah terdapat kaedah lain yang lebih selamat dan kurang menyakitkan?

Saya amat berharap pihak tuan/puan dapat memberikan penjelasan dan panduan berdasarkan hukum syarak supaya saya dapat membuat keputusan yang terbaik untuk anak saya.

Segala perhatian dan penjelasan daripada pihak tuan/puan amat saya hargai.

Sekian, terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan persoalan-persoalan yang puan kemukakan, jawapan-jawapannya adalah seperti berikut:

1. Menurut Mazhab Syafi’i yang diamalkan di negeri Selangor, berkhatan bagi lelaki dan perempuan adalah wajib. Al-Nawawi menulis dalam Al-Majmu’:

الختان واجب على الرجال والنساء عندنا

Maksudnya: “Berkhatan adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan di sisi kami (Mazhab Syafi’i)”.

2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2009 bahawa:

“Amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Walau bagaimanapun, Islam juga amat mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan pada diri. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama', Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib. Walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan”.

Berdasarkan fatwa ini, sekiranya ada mudharat yang akan muncul akibat daripada prosedur berkhatan berkenaan, maka ianya boleh ditinggalkan. Walau bagaimanapun, ini memerlukan nasihat dan pengesahan daripada doktor yang bertauliah bagi kes anak puan.

3. Boleh, sekiranya telah mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor yang berkenaan melibatkan faktor kesihatan dan emosi. Setelah itu, anak puan disahkan secara klinikal tidak sesuai untuk dikhatankan.

4. Bagi persoalan ini puan boleh menghubungi hospital yang menawarkan perkhidmatan berkhatan terutama sekali hospital-hospital Islam yang patuh syariah bagi memperoleh kaedah yang terbaik untuk anak puan.

 والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 52

message user image