Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Saya ingin bertanyakan kemusykilan berkenaan hukum memancing (ikan, udang dll) di kolam secara berbayar. Setahu saya, memancing berbayar adalah satu bentuk perjudian di mana melibatkan dua pihak yakni 1 pihak samada akan untung atau 1 pihak lagi akan rugi. Ia seolah bergantung pada nasib. Ia menafikan hak pemancing untuk mendapatkan kualiti dan kuantiti ikan/udang yang bersesuaian dengan jumlah yuran yang dibayar. Namun terdapat juga pendapat mengatakan jika pemancing berniat untuk menyewa kemudahan/perkhidmatan yang disediakan oleh pemilik kolam, maka hukum memancing tika itu adalah dibolehkan. Saya sesungguhnya keliru. Mohon jasa baik Ustaz tolong berikan penjelasan supaya saya mudah faham. Dan seterusnya saya dapat berkongsi ilmu tersebut dengan rakan-rakan lain.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, secara umumnya hukum memancing adalah harus sama ada ikan, udang dan lain-lain di kolam secara berbayar. Hal ini kerana, bayaran yang dibuat adalah merupakan bayaran atas perkhidmatan yang telah diberikan oleh pemilik kolam kepada pemancing mengikut tempoh masa yang tertentu, diantaranya perkhidmatan penyediaan tempat meletakkan kenderaan, tandas, kolam, pondok dan sebagainya. Justeru, caj yang dikenakan bukanlah berbentuk pertaruhan atau perjudian bagi mendapatkan ikan dan sebagainya. Ia merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh pengusaha kolam untuk kemudahan pemancing. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.