BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Saya ingin mendapatkan pandangan pihak Jabatan Agama Islam mengenai satu situasi di tempat kerja.

Terdapat dua orang pekerja Muslim yang disyaki mempunyai hubungan tidak wajar. Beberapa staf yang berbeza pernah melihat mereka melakukan sentuhan fizikal yang tidak sesuai antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Perkara ini juga telah diketahui oleh ramai staf dan saya telah melaporkannya kepada bos. Namun, bos saya bukan Islam dan mengambil pendirian untuk tidak campur tangan selagi perkara tersebut tidak menjejaskan prestasi kerja mereka.

Kini, kedua-dua mereka sekali lagi memohon cuti pada tarikh yang sama selama dua hari. Ini bukan kali pertama mereka mengambil cuti serentak. Saya bimbang kemungkinan mereka menggunakan masa tersebut untuk berdua-duaan atau melakukan maksiat. Saya khuatir untuk menegur mereka secara terus kerana saya mengetahui sikap kedua-duanya yang sering mencari kesilapan orang lain. Saya bimbang sekiranya saya menegur, perkara tersebut akan menimbulkan masalah atau mengganggu saya pula di tempat kerja. Saya juga terfikir untuk menghubungi isteri kepada pekerja lelaki tersebut secara peribadi bagi memaklumkan perkara yang telah disaksikan oleh beberapa staf. Namun, saya sangat bimbang tindakan tersebut mungkin menjadi sebab keruntuhan rumah tangga orang lain jika saya tersilap atau perkara tersebut sebenarnya tidak seperti yang disangkakan. Saya tidak mahu membuat tuduhan, membuka aib atau melakukan tajassus. Oleh itu, saya ingin mendapatkan pandangan pihak tuan/puan:

 

Apakah tindakan yang paling tepat menurut Islam dalam keadaan ini? Adakah saya perlu menegur, melaporkan kepada pihak agama, atau membiarkannya kerana perkara tersebut berlaku di luar waktu kerja? Dan adakah saya berdosa jika saya memilih untuk tidak campur tangan kerana bimbang mudarat terhadap diri dan rumah tangga orang lain?

 

Saya mohon panduan supaya tindakan saya tidak bercanggah dengan syarak dan saya tidak tersalah dalam usaha untuk mencegah kemungkaran. Terima kasih atas nasihat pihak tuan/puan. Wassalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Agama Islam amat menitik beratkan perkara al-Amr bi al-Ma’ruf (menyeru kepada kebaikan) dan al-Nahi an al-Munkar (mencegah daripada perkara mungkar). Ini berdasarkan, banyak firman Allah SWT dalam ali-Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Tugas ini menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam sebaik sahaja mereka melihat kemungkaran tersebut berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Sesiapa dari kalangan kalian yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan jantung hatinya. Demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

 Allah SWT juga ada berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 12:

وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

Berdasarkan pernyataan tersebut, dapatlah kita faham bahawa mencari-cari kesalahan yang tersembunyi merupakan perbuatan yang dilarang dalam ayat tersebut. Sebaliknya, jika kesalahan dan keaiban itu jelas kepada kita maka bolehlah kita mengambil tindakan. 

Kesimpulannya, puan telah membuat aduan kepada majikan dan ia adalah tindakan pertama mencegah kemungkaran, seterusnya sebaiknya puan terus berjumpa dengan pelaku dan jelaskan apa yang telah puan lihat serta fikir. Sekiranya pelaku tidak menerimanya atau apa sahaja tindakan yang tidak baik kepada puan, tanggungjawab menegur (lisan) telah pun dilaksanakan atau mungkin ianya sekadar anggapan dan tohmahan sahaja. Selagi ia tidak jelas kemaksiatannya, maka tidak wajar kita melakukan intipan (tajassus) dan apatalagi berprasangka buruk kepada pelaku.  

Sekiranya telah jelas dengan kemaksiatannya, adalah lebih baik puan membuat aduan beserta bukti yang kuat dan jelas kepada pihak berkuasa agama bagi mendapatkan pandangan dan tindakan selanjutnya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 6

message user image