BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Adakah saya dikira nusyuz sekiranya saya tidak melayank nafsu seks suami. Dengan alasan berikut : isteri sedang sarat mengandung, sakit bersalin, berpantang sambil jaga anak kecil seorang diri, tapi suami melempiaskan nafsu dia pada wanita bukan muhrim sehingga mengandung dan melahirkan pada tahun yg sama dengan anak pertama yang saya lahirkan dan bernikah tanpa pengetahuan saya. Saya ditipu hidup-hidup bertahun-tahu ..tidakkah perasan utk melayan suami tu hilang dengan sendirinya walaupun saya tau hukum tidak melayani suami..perlukah saya ketepikan perasaan saya sendiri demi memenuhi tugas saya melayan nafsu seks suami saya. Adakah saya dikiri nusyuz. Walau bagaimanapun, saya ada juga melayani nafsu suami bukan langsung tidak mengikuti keiinginannya tp suami seorang yang kuat nafsu seksnya.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan situasi yang dinyatakan, puan tidak dikira nusyuz kerana terdapat beberapa perkara yang dikategorikan uzur syar'i seperti mengalami sakit bersalin. Di samping itu juga, puan sedang mengalami situasi yang sangat berat dalam keadaan emosi puan yang sangat tidak stabil. Perbuatan suami puan yang berzina dan berkahwin lain tanpa pengetahuan puan adalah perkara yang amat besar. Dalam keadaan seperti ini, perasaan puan untuk melayani suami secara intim adalah wajar terjejas. Selain itu juga, puan menyatakan bahawa puan masih melayani suami pada masa-masa tertentu dan bukan menolak semua keinginannya, menunjukkan bahawa keadaan puan bukan semata-mata sengaja mahu mengabaikan hak suami. Islam juga tidak menjadikan hubungan suami isteri hanya sebagai kewajipan isteri memenuhi nafsu suami sahaja. Akan tetapi suami turut diwajibkan mempergauli isteri dengan baik, menjaga kebajikan dan perasaannya serta menunaikan hak-hak seorang isteri. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 19:-

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik.

Oleh itu, puan tidak perlu memaksa diri dalam keadaan sakit atau sehingga memudaratkan diri, dan puan juga tidak sepatutnya terus menganggap diri puan berdosa setiap kali tidak mampu memenuhi kehendak seksual suami bilamana dalam keadaan yang masih tidak stabil. Sekiranya berlaku pertikaian tentang nusyuz, suami tersebut tidak boleh dengan mudahnya menghukum atau menetapkan isterinya sebagai nusyuz. Ini kerana sabitan nusyuz merupakan perkara yang tertakluk kepada penentuan Mahkamah Syariah. Terlebih dahulu, puan wajar diberi ruang dan peluang untuk memulihkan emosi puan. Selepas daripada itu, disarankan agar puan dan suami berbincang secara tenang untuk mencari keputusan yang terbaik untuk memperbaiki rumah tangga puan. Selain daripada itu, puan berdoalah pada Allah SWT supaya dilancarkan segala urusan puan sekeluarga. Semoga setiap usaha yang dilakukan menemui jalan perdamaian.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image