BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam...sebelum pemakaian IUCD...haid saya 8 hari...tetapi selepas pemakaian iucd...pendarahan merah selama 8/9 hari...selepas itu akan menjadi kuning2 sehingga la kdg2 melebihi 15 hari...soalan sy...adakah haid hanya dikira sewaktu darah merah itu sahaja...hari ke 10dan seterusnya adakah dia darah istihadah...dan sy perlu mandi dan solat ke?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Darah haid ialah darah yang keluar sekurang-kurangnya mencukupi 24 jam dan paling lama ialah 15 hari 15 malam. Untuk mengetahui darah yang datang itu ialah haid, maka wanita itu perlu melihat sebelum darah itu datang adakah ia telah melalui tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari. Jika ya, maka darah yang baru datang itu bolehlah dikira haid jika ternyata cukup 24 jam. Maksud 24 jam itu ialah sama ada datang berterusan selama 24 jam atau terputus-putus tetapi apabila dicampurkan himpunan masanya maka ia cukup 24 jam asalkan tidak melepasi 15 hari. 

Manakala keadaan yang dikira darah istihadah pula, pertama darah itu tidak cukup 24 jam. Yakni apabila darah yang datang itu setelah melepasi lima belas hari dari hari pertama dan setelah dicatat lama masanya tidak cukup 24 jam, maka ia adalah darah istihadah. Kedua, darah yang keluar ketika tempoh minimum suci (15 hari 15 malam) belum cukup, maka ia dikira istihadhah.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, pemakaian iucd boleh sahaja mengganggu kestabilan hormon seseorang wanita sehingga memberi kesan kepada kitaran haid. Dalam kes yang dinyatakan, didapati darah keluar melebihi tempoh kebiasaan selepas pemakaian iucd.

Sekiranya darah yang keluar masih belum melebihi tempoh maksimum haid, iaitu 15 hari 15 malam, maka darah tersebut boleh dihukumkan sebagai darah haid sekiranya memenuhi syarat-syarat haid. Oleh itu, darah kekuningan yang keluar dalam tempoh tersebut juga dikira sebagai haid kerana ia berlaku dalam waktu kemungkinan haid. Namun, jika pendarahan berterusan sehingga melebihi 15 hari 15 malam, maka berlaku percampuran antara darah haid dan darah istihadah. Dalam keadaan ini, puan perlu membezakan kedua-duanya dengan menggunakan kaedah tamyiz jika dapat membezakan sifat darah, atau berdasarkan adat kebiasaan haid sekiranya sifat darah tidak dapat dibezakan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 30

message user image