Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Anak saya bersekolah di besut terengganu. Kami dari bangi selangor datang untuk ambil anak saya dan bermalam di besut terengganu. Boleh ke anak saya solat jamak qasar di besut?. Kemudian keesokkan kami sekeluarga nak berciti ke pulau perhentian terenggannu. Boleh ke anak saya solat jamak qasar?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, anak puan tidak boleh menunaikan solat secara jamak dan qasar ketika berada di Besut. Hal ini kerana, anak puan dianggap bermukim di Besut sepanjang tempoh persekolahan dan menetap di asrama tersebut.
Perjalanan sehala dari Besut ke Pulau Perhentian pula tidak mencapai jarak dua marhalah yang membolehkan solat secara jamak dan qasar. Oleh itu, anak puan juga tidak boleh menunaikan solat secara jamak dan qasar dalam perjalanan tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya sejak bertolak dari Besut anak puan telah berniat untuk pulang ke Bangi, manakala Pulau Perhentian hanya menjadi tempat persinggahan dalam perjalanan pulang yang bersambung, maka dia dibolehkan menunaikan solat secara jamak dan qasar setelah keluar dari kawasan permukiman di Besut. Namun, sekiranya dia kembali dan bermalam semula di tempat tinggalnya di Besut sebelum bertolak ke Bangi, hukum musafir tersebut terputus dan perjalanan dari Besut ke Bangi dikira sebagai perjalanan yang baharu.
Sekian, terima kasih.