BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada persoalan:

1) selepas bangun tidur adakah perlu basuh tangan terlebih dahulu sebelum menyentuh apa-apa? Sebab ada terbaca hadis:

"Apabila salah seorang daripada kamu bangun daripada tidur malam, maka janganlah memasukkan tangannya ke dalam bekas air sehingga dia membasuhnya dua atau tiga kali kerana sesungguhnya dia tidak tahu di mana tangannya bermalam (diletakkan)"

Wajib ke basuh tangan walaupun tangan nampak bersih? Dan adakah perlu dibasuh paip yang disentuh sebelum tangan dibasuh?

2) Jika bilik air dan tandas dalam ruang yang sama maksudnya ada mangkuk tandas dalam bilik air tanpa ada dinding yang menjadi pemisah kerana bilik air kecil, adakah perlu disiram dahulu seluruh bilik air selepas menggunakan area mangkuk tandas sebelum mula mandi kerana risau ada najis yang mungkin terpercik. Dan adakah selepas selesai mandi perlu disiram sekali lagi seluruh ruang bilik air termasuk pintu bilik air sebelum ambil wuduk atau sebelum keluar bilik air?

 

Maaf jika pertanyaan saya nampak mengarut atau pelik. Risau dan was-was jika terbawa najis dari bilik air keluar dan tak sah solat.

Terima kasih sudi membalas pertanyaan saya.


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan tersebut, maka jawapannya adalah seperti berikut:

1) Hadis tersebut adalah daripada Abu Hurairah RA:

إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ، فَلَا يَغْمِسْ يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kalian bangun daripada tidurnya, maka janganlah dia mencelupkan tangannya ke dalam bekas sehingga dia membasuhnya tiga kali, kerana dia tidak tahu di mana tangannya bermalam.

(Riwayat Muslim)

Menurut mazhab Shafi‘i, membasuh tangan selepas bangun tidur hukumnya sunat, bukan wajib. al-Rafi’i menulis dalam Fath al-‘Aziz:

 يستحب غسل اليدين للمستيقظ من النوم قبل إدخالهما الإناء

Maksudnya: Disunatkan membasuh kedua-dua tangan bagi orang yang bangun daripada tidur sebelum memasukkan kedua-duanya ke dalam bekas air.

Tidak perlu basuh paip yang disentuh sebelum tangan dibasuh. Ini kerana tangan pada asalnya dihukum suci. Antara kaedah fiqh berbunyi:

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Asal bagi setiap sesuatu adalah suci.

2) Bilik air dan tandas dalam ruang yang sama pada asalnya adalah suci melainkan terbukti sebaliknya seperti kawasan yang terdapat najis atau kesan-kesannya melibatkan bau, warna dan rasa. Bukan seluruh lantai, pintu, dinding atau ruang bilik air. Maka, perbuatan menyiram air di seluruh bilik air selepas menggunakan tandas sebelum mandi adalah tidak wajib tetapi dianjurkan sahaja.

Begitu juga jika selepas membuang air tiada percikan najis dan kesan-kesannya yang dilihat atau tiada tempat tertentu yang diyakini terkena najis, maka menyiram seluruh bilik air bukanlah sebuah kewajipan melainkan sunat semata-mata.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 18

message user image