Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin mendapatkan penjelasan berkenaan hukum najis pada barangan terpakai.
Saya telah membeli sebuah rak besi second hand daripada seorang individu. Semasa saya datang ke rumah pemilik tersebut untuk mengambil rak berkenaan, saya mendapati beliau ada membela anjing dan kucing di dalam rumah.
Walau bagaimanapun, rak besi tersebut kelihatan bersih dan saya tidak melihat sendiri anjing menyentuh, menjilat atau terkena pada rak tersebut. Saya juga tidak nampak sebarang kesan najis, air liur atau kotoran pada rak berkenaan.
Soalan saya:
Adakah saya perlu menyertu rak besi tersebut hanya kerana ia berada di rumah yang mempunyai anjing, walaupun tiada bukti atau kepastian bahawa anjing pernah menyentuh atau menjilat rak tersebut?
Sekiranya tidak perlu disertu, adakah memadai saya menggunakannya seperti biasa berdasarkan kaedah bahawa sesuatu benda asalnya dianggap suci selagi tiada bukti terkena najis?
Mohon penjelasan daripada pihak Mufti berkenaan hukum yang tepat dalam situasi ini.
Terima kasih.
Jawapan
Hukum asal sesuatu benda ialah suci. Justeru, rak besi yang dibeli daripada pemilik yang memelihara anjing tidak dihukumkan sebagai najis hanya kerana rak tersebut berada di rumah yang mempunyai anjing.
Dalam situasi yang dinyatakan, tiada bukti atau keyakinan bahawa anjing telah menyentuh, menjilat atau mengeluarkan najis pada rak tersebut. Oleh itu, rak berkenaan tidak wajib disertu dan boleh digunakan seperti biasa.
Hal ini berdasarkan kaedah fiqh:
Maksudnya: Pada asalnya, segala sesuatu adalah suci.
Selain itu, kaedah:
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.
Adapun kewajipan sertu berlaku apabila terdapat keyakinan bahawa najis mughallazah daripada anjing telah terkena sesuatu benda. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Masudnya: Apabila anjing menjilat bekas salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia membasuhnya sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah.
(Riwayat al-Nasaie)
Hadis tersebut menunjukkan kewajipan sertu apabila berlaku kenajisan yang diketahui, bukan semata-mata berdasarkan sangkaan atau kemungkinan.
Oleh itu, dalam kes ini, rak tersebut kekal dihukumkan suci dan tidak perlu disertu. Tidak wajar seseorang membebankan dirinya dengan sertu hanya berdasarkan keraguan bahawa anjing mungkin pernah menyentuhnya.