Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai puasa nazar. Jika seseorang itu sedang berpuasa nazar, kemudian dia membatalkan puasanya, adakah syara' membenarkan. Contohnya, dia sedang berpuasa nazar, tiba-tiba pejabat dia mengadakan jamuan makan untuknya. Untuk tidak mengecilkan hati orang lain, dia pun membatalkan puasanya itu dan makan. Terima kasih.
Jawapan
Berhubung soalan yang dikemukakan, tindakan membatalkan puasa nazar tanpa sebarang keuzuran syarak adalah tidak dibenarkan. Perbuatan tersebut membawa hukum berdosa dan puasa yang ditinggalkan itu wajib diqadakan semula. Harap maklum bahawa majlis jamuan pejabat atas dasar menghormati sesama insan belum terhitung sebagai keuzuran syarak untuk membatalkan puasa nazar. Ini kerana, kewajipan menunaikan janji kepada Allah SWT sewajarnya didahulukan berbanding menjaga hati sesama manusia. Justeru, langkah yang amat baik adalah dengan tetap menghadiri majlis sekadar untuk meraikan tanpa menjamah hidangan atau memohon keuzuran secara baik dan penuh kesopanan.
Sekian, terima kasih.