Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya banyak diganggu was-was ketika solat. Ketika solat tadi saya rasa seperti ada angin keluar dari depan. Tapi saya tak pasti sama ada dari dalam atau tidak, dan saya anggap bukan dari dalam kerana selalu sangat rasa ketika solat. Tapi bila diteruskan, perasaan was-was itu masih menghantui saya sehingga saya mula asyik terfikir adakah patut saya batalkan solat sahaja. Setahu saya bila dah terfikir begitu, solat jadi batal. Adakah sah solat saya tadi? Akhir-akhir ini saya asyik rasakan ada sahaja yang tak kena dengan solat saya.
Jawapan
Berdasarkan situasi yang diceritakan, solat saudara tadi adalah sah dan tidak perlu diulangi. Hal ini kerana saudara hanya terasa seperti ada angin keluar dari bahagian hadapan, tetapi tidak pasti sama ada angin itu benar-benar keluar dari dalam atau tidak. Oleh itu, saudara hendaklah berpegang pada hukum asal bahawa wuduk masih sah dan tidak perlu membatalkan solat hanya disebabkan perasaan ragu-ragu tersebut.
Seseorang yang mengalami waswas tentang kentut ketika solat tidak perlu membatalkan solat selagi tidak yakin bahawa angin benar-benar keluar. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh:
Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.
Adapun mengenai fikiran saudara yang terlintas untuk membatalkan solat, lintasan hati semata-mata tidak membatalkan solat. Terfikir hendak berhenti atau tertanya-tanya sama ada perlu membatalkan solat tidak sama dengan benar-benar memutuskan solat dengan sengaja. Oleh itu, tindakan saudara meneruskan solat tadi adalah betul. Jangan ulang solat hanya kerana selepas selesai solat saudara masih berasa ragu-ragu tentang kesahihannya.