BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum wbt. saya mahu bertanya mengenai kejahilan saya sewaktu awal remaja. saya seringkali mengalami masalah keputihan yang agak banyak dan kerap keluar. persoalan saya, sewaktu saya awal remaja, saya seringkali beronani (saya baru tahu istilah itu dan baru tahu tentang pengharaman itu setelah lebih kurang 5 tahun saya buat perkara keji itu). pada mulanya, saya berfikir kenapa setiap kali saya melakukan perkara itu, keputihan saya banyak keluar, tapi setelah beberapa tahun itu baru saya tahu itu adalah air mani (jahil tentang itu). dan kadang ii saya ada terbuat perkara itu ketika puasa kerana jahil. mungkin ada solat dan puasa saya yang sah kerana saya ada juga mandi wajib setiap bulan kerana haid. 

jadi persoalan saya : bagaimanakah dengan solat dan puasa saya? adakah saya perlu menggantikannya kerana ada dalam 4-5 tahun dari awal saya baligh? jika ya, boleh berikan tips untuk saya menggantikan semua solat dan puasa yang bilangannya begitu banyak bagi saya agar saya tidak rasa terbeban. atau saya tidak ada hukum ke atasnya kerana kejahilan saya?

saya sangat menyesal dan merasa benci dan sangat sedih setiap kali teringat perkara ini. harap ustaz/ustazah boleh bantu menjawab pertanyaan saya. terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Zumar ayat 53,

قُلْ يَاعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Merujuk kepada persoalan, 

1. Solat yang dilakukan ketika hadas besar adalah tidak sah dan wajib diqada'.

Seandainya jumlah solat yang perlu diqada tidak diketahui bilangannya, maka boleh dibuat anggaran maksimum yang saudari boleh jangka selama 5 tahun itu. Saudari boleh mengqada solat berdasarkan jumlah anggaran tersebut mengikut kemampuan dan juga boleh mengqada solat tersebut setiap kali selepas solat waktu, iaitu selepas selesai solat fardu Zohor, qada solat Zohor. Begitulah seterusnya setiap hari selepas solat fardu yang lain sehingga cukup jumlah anggaran tersebut.      

2. Hukum puasa yang dilakukan ketika berhadas besar adalah mengikut situasi.

Sekiranya mengeluarkan air mani itu sebelum azan Subuh dan tidak mandi wajib, maka puasa yang dilakukan sepanjang hari atau hari seterusnya ketika dalam hadas besar adalah sah. 
Namun, sekiranya mengeluarkan air mani itu dengan sengaja selepas azan Subuh, maka puasa yang dilakukan pada hari itu adalah tidak sah. Manakala, puasa keesokan harinya adalah sah. 
Maka, puasa yang tidak sah itu perlu diqada' dan perlu membayar fidyah mengikut kadar bayaran Majlis Agama Islam Negeri saudari.

3. Perlu lah diingatkan mengenai sifat air mani. Ia boleh keluar akibat perbuatan onani yang mencapai tahap klimaks (kemuncak kepuasan nafsunya). Ia berwarna putih. Apabila basah ia pekat dan mempunyai bau. Jika ia kering pula ia berdebu akibat digosok. Keluar dalam keadaan memancut. Jika benar ia adalah air mani, maka wajib mandi wajib dan qada solat dan puasa seperti yang dibincangkan.
Sekiranya tidak mencapai klimaks, maka air yang keluar itu berkemungkinan hanya air mazi. Dalam keadaan ini, tidak perlu mandi wajib, dan solat serta puasa yang dilakukan adalah sah dan tidak perlu diqada'.

Di samping menggantikan puasa dan solat dahulu, perbanyakkanlah istighfar dan serahkan sahaja urusan kesilapan yang telah berlalu kepada Allah SWT. Yakinlah dengan pengampunan dan rahmat Allah SWT. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 6

message user image