BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan/puan,

Ada anjing masuk halaman rumah saya, dan di pagi hari saya ternampak ada kesan air tanpa bau dan warna, dan juga apa yang saya rasa mengikutkan bentuk ialah bekas tapak kaki yang tidak basah. Untuk kawasan basah tersebut saya telah keringkan dan sertu.

1)Untuk apa yang saya syak adalah bekas tapak kaki anjing tersebut kerana ada bekas adakah perlu di sertu juga?

2) Kakak saya telah panggil orang untuk sertu satu halaman, kesan yang saya syak tapak kaki anjing itu tak hilang, adakah najis telah merebak dan saya perlu sertu satu halaman lagi? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, berikut ialah penjelasannya:

1. Adakah kesan yang disyaki sebagai tapak kaki anjing perlu disertu?

Sekiranya kesan tersebut hanya disyaki sebagai tapak kaki anjing dan tidak dapat dipastikan terdapat najis anjing padanya, maka tidak perlu disertu. Hal ini kerana kesan tapak kaki semata-mata tidak membuktikan bahawa kawasan tersebut terkena najis anjing.  Kesan tapak kaki anjing pada lantai simen yang telah kering tidak perlu disertu, melainkan terdapat kepastian bahawa kawasan tersebut terkena najis anjing.

2. Adakah najis telah merebak dan perlu sertu semula seluruh halaman?

Saudara tidak perlu melakukan sertu semula terhadap seluruh halaman hanya kerana kesan yang disyaki sebagai tapak kaki anjing itu masih kelihatan selepas proses sertu dilakukan. Hal ini kerana kesan yang masih kelihatan tidak semestinya menunjukkan kewujudan najis. Sekiranya tiada kepastian bahawa kesan tersebut mengandungi najis anjing, kawasan itu kekal dihukumkan suci. Oleh itu, tidak perlu mengulangi sertu atau menganggap najis telah merebak ke kawasan lain.

Prinsip ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

اليَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.”

Justeru, saudara hendaklah berpegang pada hukum asal sesuatu tempat itu suci sehingga terbukti sebaliknya. Elakkan daripada melakukan sertu berulang kali hanya kerana masih terdapat kesan yang menimbulkan keraguan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 7

message user image