BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 

Menerusi laman web Mufti Wilayah Persekutuan, beliau menyatakan dalam jawapan berkenaan makmum yang syak "Bagi makmum yang syak, jika dia berterusan syak sehingga imam selesai solat dalam keadaan dia tidak mufaraqah dan menambah rakaat maka solatnya tidak sah. Dia perlu mengulangi semula solatnya."

Kadang-kala saya merasa syak tentang bacaan imam pada waktu salam, kerana tidak mendengar bunyi "As" dalam "Assalamualaikum warahmatullah". Adakah syak ini membatalkan solat, walaupun saya berfikir selepas datangnya syak saya mungkin tidak mendengarnya? Jazakallahu khayran.


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Untuk makluman tuan, perkara yang dibincangkan menerusi laman web Jabatan Mufti tersebut  adalah berkaitan situasi makmum yang berasa syak terhadap bilangan rakaat imam sehingga imam selesai memberi salam , manakala persoalan tuan pula adalah merujuk kepada keraguan sama ada bunyi “As” pada permulaan lafaz salam imam telah didengari ataupun tidak. Oleh yang demikian, hukum bagi kedua-dua situasi tersebut tidak boleh disamakan secara langsung kerana konteks permasalahannya berbeza.

Dalam keadaan tuan telah menunaikan solat sebagai makmum dan kemudiannya timbul keraguan sama ada bunyi “As” pada lafaz salam imam didengari atau tidak, keraguan semata-mata tidak membuktikan bahawa imam tidak menyempurnakan salamnya. Tambahan pula, tidak mendengar sesuatu lafaz tidak semestinya bermakna lafaz tersebut tidak disebut; ada kemungkinan lafaz itu telah diucapkan dengan sempurna, cuma ia tidak dapat didengari dengan jelas. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: "Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan."

Justeru, solat tuan dihukumkan sah dan tidak perlu diulangi semata-mata kerana perasaan syak tersebut. Hal ini berbeza daripada keadaan seseorang yang benar-benar yakin dan mengetahui secara pasti bahawa sesuatu rukun solat tidak dilaksanakan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 5

message user image