BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz dan ustazah,

saya tinggal di rumah sewa bersama rakan2. Saya duduk di tingkat 1. Pintu Bilik air saya ada ruang, jika air terkeluar, maka basah di luar. 
semalam saya cirit birit dan terkena kain. Jadi saya membersihkannya di paip . Paip tersebut berdekatan dengan pintu. namun selepas itu saya menjirus dinding tandas dan terlebih jirus menyebabkn air terkeluar. Di luar saya telah letak penghalang pintu air tetapi tidak dapat rapat sebetulnya dan pelapik plastik. Kemudian saya ambil baldi yg berisi baju yang di basuh dan meletakkan di atas pelapik plastik. Saya berandaian tiada air yg keluar sampai atas pelapik itu. Setelah hampir sejam, saya membawa turun baldi tersebut ke tingkat bawah rumah untuk masuk ke dalam mesin basuh. Dan naik semula ke tingkat 1. Namun ketika hendak masuk tandas, saya lihat seperti basah bahagian plastik tersebut lalu memijak nya dan mendapati memang basah di atas juga. Walaubagaimanapon,saya terus mengangkat plastik tersebut untuk dibuang.saya lupa untuk memeriksa bahagian plastik yang saya letak baldi di atas nya sama ada basah atau tidak. Bagaimana status lantai dirumah? Saya telah angkat baldi turun sebentar tadi. Saya tidak pasti sama ada air baldi itu menitik atau tidak.Dan jika menitik juga, saya telah pun melalui kawasan lantai terbabit. Tiada warna yang jelas sebab memang warna air paip sahaja. Mohon pencerahan perlu atau tidak saya membersihkan lantai . Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, lantai rumah, laluan membawa baldi serta kaki saudari kekal dihukumkan suci selagi tidak dapat dipastikan bahawa najis telah mengenainya. Kewujudan air atau kesan basah semata-mata tidak mencukupi untuk menghukumkan sesuatu tempat atau barang sebagai bernajis.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.”

Imam Abu Ishaq al-Syirazi menjelaskan dalam kitab al-Muhadhdhab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i:

لِأَنَّ الْأَصْلَ الطَّهَارَةُ فَلَا يُزَالُ الْيَقِينُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Hal ini kerana hukum asalnya ialah suci, maka keyakinan tersebut tidak dihilangkan dengan keraguan.”

Berdasarkan keadaan yang dinyatakan, saudari mengetahui bahawa terdapat air di atas pelapik plastik. Namun begitu, saudari tidak pasti sama ada air tersebut bernajis, sama ada bahagian yang bersentuhan dengan dasar baldi turut basah, serta sama ada terdapat titisan daripada baldi ketika dibawa ke tingkat bawah. Oleh itu, kemungkinan tersebut tidak boleh dijadikan asas untuk menghukumkan baldi dan lantai yang dilalui sebagai bernajis berdasarkan syak atau andaian semata-mata.

Air yang keluar dari bilik air juga tidak semestinya bernajis hanya kerana saudari telah membasuh kain yang terkena najis di dalamnya. Status air tersebut bergantung pada keadaan sebenar air dan sentuhannya dengan najis. Walau bagaimanapun, ketiadaan warna atau bau najis bukanlah satu-satunya penentu kesucian sekiranya kenajisannya memang telah diketahui dengan pasti. Dalam persoalan saudari, perkara yang utama ialah tiada kepastian bahawa air bernajis telah berpindah ke pelapik, baldi dan lantai rumah.

Sehubungan itu, saudari tidak diwajibkan membasuh lantai rumah atau menjejaki semula laluan membawa baldi tersebut. saudari juga tidak perlu memeriksa semula pelapik yang telah dibuang bagi menyiasat kemungkinan berlakunya perpindahan najis. Sekiranya terdapat bahagian tertentu yang benar-benar diketahui terkena najis, memadailah bahagian tersebut disucikan dengan menghilangkan zat najis, jika ada, kemudian mengalirkan air mutlak padanya.

Saudari hendaklah berpegang pada hukum asal kesucian serta mengabaikan keraguan yang tidak disokong oleh bukti yang jelas agar tidak berlarutan menjadi was-was.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 5

message user image