Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ustaz saya ada kemusykilan. Sanak saudara saya (F) yg duduk di Felda Sg Pancing yang bekerja di kantin markas tentera dekat sana telah memberikan beberapa barang seperti ikan bilis , kordial dan serbuk kopi kepada saya. Saya rasa ragu-ragu untuk menggunakan barang tersebut sebab ada tertulis hak kerajaan malaysia. Dia bagitau yang pegawai di situ tidak suka makanan yang dimasak menggunakan barang yang dibekalkan oleh kerajaan secara percuma kepada tentera. Jadi beliau menyuruh atau mungkin tidak saya tak dapat pastikan adakah cerita dari F ini benar, pegawai itu menyuruh dia membeli barang lain untuk dimasak hasil dari jualan barang tadi. Lalu dia bawa semua barang itu ke rumahnya dan jual pada jiran dan hadiahkan pada sanak saudaranya. Apakah kerajaan tahu komplot di antara pegawai dan pekerja kantin itu? Bolehkah kami orang awam memanfaatkan barang tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, menjual atau memberikan barang yang bukan miliknya adalah salah. Selain daripada barang hak kerajaan yang diberikan secara percuma kepada yang layak, dakwaan pegawai yang tidak dipastikan juga sangat meragukan. Oleh itu, manfaatkan barang yang meragukan adalah dilarang. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali RA cucu Rasulullah SAW, beliau berkata: دَعْ مَا يُرِيْبُكَ إِلىَ مَا لاَ يُرِيْبُكَ Maksudnya : “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu” (Riwayat al-Tirmizi) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.