Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Mufti.. Saya bakal bernikah pada hujung bulan Jun ini, tetapi tiba-tiba saya dilanda kerisauan bagaimana jika sewaktu akad nikah dijalankan saya terlintas perkara-perkara yang boleh menyebabkan lari akidah atau murtad. Saya jadi takut sehingga terlalu memikirkannya dan saya takut pada waktu akad nikah itu saya percaya saya telah murtad sedangkan saya tidak fikir pun saya murtad pada waktu lain. Kerisauan ini berpunca apabila saya terlalu takut jika nikah saya tidak sah. Kerana nikah berjalan dengan pantas dan bagaimana jika sewaktu lafaz akad tu saya fikir perkara yang membawa murtad dan percaya saya murtad tetapi perkara itu hilang atau saya kembali sedar selepas akad nikah selesai? Adakah saya perlu akad nikah semula? Saya jadi takut nikah saya tidak sah dan saya tidak mahu hidup dengan dosa bersama pasangan saya. Susah untuk saya terangkan kerana perkara belum terjadi tetapi saya terlalu memikirkannya dan takut. Saya nak buang ketakutan ini sebelum nikah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, tahniah! Kerana bakal melangsungkan perkahwinan, salah satu daripada sunnah Nabi SAW. Lintasan hati suatu perkara yang lumrah, ia bepunca daripada pemikiran tidak tenang, juga hasutan syaitan yang menjadikan seseorang was-was serta tidak tenang. Berusahalah dengan menuntut ilmu, beribadat dan berzikir mengingati Allah SWT, sebagaimana firmanNya : Maksudnya : "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Ar-Ra'd : 28) Ingatlah bahawa lintasan hati tidak membawa apa-apa hukum, bagaimanapun jika tidak dikawal dan diatasi, ia boleh membawa mudharat yang lebih besar. Daripada rasa syak boleh membawa kepada yakin. Daripada lintasan hati boleh membawa kepada lafaz atau ikrar. Sahnya perkahwinan akan ditentukan semasa majlis aqad. Jika semua rukun dan syarat dipenuhi, sahlah perkahwinan tersebut. Selain itu telah menjadi kelaziman sebelum sesuatu aqad dilakukan, wali dan pengantin bahkan semua yang hadir menyaksikan akan dikehendaki sama-sama bersyahadah, agar lebih fokus kepada tujuan dan matlamatnya. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : قال ربكم عز وجل لو أن عبادي أطاعوين ألسقيتهم املطر بالليل وأطلعت عليهم الشمس بالنهار وملا أمسعتهم صوت الرعد، وقال رسول الله إن حسن الظن بالله عز وجل من حسن عبادة الله، وقال رسول الله صلى الله عليه وسلم جددوا إيمانكم، قيل: يا رسول الله وكيف نجدد إيماننا؟ قال: اكثروا من قول لا إله إلا الله Maksudnya: “Tuhanmu berfirman, “Kalaulah hamba-Ku mentaatiku nescaya Aku akan memberi mereka minum hujan di malam hari dan akan menerbitkan mereka cahaya matahari di siang hari. Dan sudah tentu aku tidak menakutkan mereka dengan bunyi guruh atau petir.” Rasulullah SAW bersabda lagi, “Sesungguhnya sangkaan yang baik terhadap Allah SWT adalah sebaik-baik kebaikan daripada hamba-hamba Allah SWT” Kemudian Rasulullah SAW menambah, “Perbaharuilah imanmu.” Lalu Rasulullah SAW ditanya, “Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami?” Rasulullah SAW menjawab, “Dengan memperbanyakkan ucapan لا إله إلا الله” (Riwayat Ahmad) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.