Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ketika sujud dahi saya tidak kena lantai kerana akan pening apabila mencecah lantai.Perkara ini berlaku kadang kadang. Saya sujud setakat mampu supaya tidak pening. Berdiri dan rukuk tiada masalah.Sekarang saya sembahyang guna kerusi ketika sujud.Harap dapat penjelasan dan nasihat dari pihak tuan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, ia berkaitan rukun fi’li iaitu perkara wajib berkaitan pergerakan zahir anggota badan di dalam solat. Di antara rukun fi’li adalah sujud. Dengan maksud , jika tuan tidak melaksanakan pergerakan posisi sujud secara sempurna sedangkan tuan mampu berbuat demikian, maka solat yang dilakukan tidak sah. Walau bagaimanapun, rukhsah (kelonggaran) diberikan oleh Syarak kepada sesiapa yang tidak berkemampuan melakukan rukun fi’li apabila menghadapi sebarang kekangan seperti masaalah kesihatan. Dalam situasi tuan, maka tuan hanya perlu sujud setakat yang mampu sahaja. Adapun rukun fi’li yang lain, maka hendaklah dilakukan secara sempurna. Firman Allah SWT; Maksudnya ; “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah SWT sedaya upaya kamu, dan dengarlah (akan pengajaran-pengajarannya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya), dan dermakanlah harta kamu (sebagai) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang Berjaya”. Berkaitan situasi yang tuan hadapi, tuan dibenarkan untuk menggantikan sujud dengan hanya merendahkan kepala dalam keadaan duduk diantara dua sujud diatas lantai. Ini kerana tuan masih mampu untuk duduk diantara dua sujud secara sempurna, maka rukun tersebut (duduk diantara dua sujud di atas lantai) tidak gugur. Perbuatan duduk diatas kursi sebagai menggantikan duduk diantara dua sujud dan merendahkan kepala sebagai menggantikan sujud hanya dibolehkan kepada orang yang tidak mampu duduk dibawah atas masalah lutut atau kaki yang sakit. Tuan juga dinasihatkan supaya berjumpa pakar untuk merawat penyakit yang tuan alami agar dapat beribadah dan melakukan urusan lain dengan selesa dan baik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.