BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: : Assalamua'laikum. Saya ingin bertanya tentang cerai taklik bersyarat. Situasi Dalam pergaduhan antara suami dan isteri, si suami melafazkan nama penuh isteri dan lafaz 'kalau kau keluar dari rumah ini, aku ceraikan kau dengan talak satu' dengan niat untuk menghalang isteri keluar dari rumah pada ketika itu yang mana ingin memberi ugutan kepada isteri untuk tidak keluar dari rumah disebabkan ingin menjaga aib keluarga kerana masa itu isteri tengah berkemas untuk keluar dan suami dalam keadaan marah kerana isteri tidak endahkan percakapan suami. Selepas berdamai, suami dan isteri keluar rumah seperti biasa. Adakah jatuh talak tersebut? Jika jatuh, adakah cara rujuk sah dengan lafaz aku rujuk kembali atau dengan jima' suami dan isteri? Keadaan isteri ketika lafaz tersebut ialah sedang mengandung 3 bulan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, berkenaan lafaz taklik yang diucap oleh suami iaitu : “kalau kau keluar dari rumah ini, aku ceraikan kau dengan talak satu“, ia bukanlah lafaz taklik yang bersyarat, kerana tidak ditentukan atau disyaratkan masa, hari, atau tarikh tertentu. Contoh taklik bersyarat ialah : “kalau kau keluar dari rumah ini sekarang, aku ceraikan kau dengan talak satu”. Maknanya, kalau isteri tidak keluar dari rumahnya sekarang, maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Dan taklik itu berakhir pada masa itu sahaja. Adapun, lafaz taklik “kalau kau keluar dari rumah ini, aku ceraikan kau dengan talak satu“, adalah lafaz taklik yang tidak ditentukan masanya. Walaupun selepas berdamai, taklik itu masih berjalan sehinggalah isterinya keluar dari rumah tersebut. maka ketika ini jatuhlah talak ke atas isterinya. Berkenaan rujuk, berdasarkan kepada mazhab Shafie, syarat rujuk hendaklah dilafazkan oleh suami. Sebaiknya, urusan perceraian dan rujuk hendaklah dikemukakan terus ke Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran untuk direkod bagi penentuan status perkahwinan suami isteri tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 1033

message user image