Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan. Saya ingin mendapatkan penjelasan dan kepastian, adakah kata -kata yang keluar dari mulut seorang ibu adalah satu doa untuk anaknya, tapi dalam hati ibu tidak ada niat nak mendoakan yang tidak baik kepada anak. niat ibu berkata begitu hanyalah untuk menakutkan anak supaya tidak mengulang lagi membuat kesalahan tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sesungguhnya kita ketahui bahawa doa seorang ibu adalah dimakbulkan oleh Allah SWT. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda : ثَلاَثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ لاَ شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ Maksudnya : “Tiga doa yang mustajab yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa orang tua pada anaknya.” (Riwayat Ibnu Majah) Riwayat ini menyebutkan bahwa, doa yang baik-baik ibu bapa kepada anaknya termasuk doa yang mustajab. Bukan semua kata-kata dari mulut ibu adalah doa, ada yang bersifat sebagai nasihat, pesanan, teguran, amaran dan sebagainya. Adakalanya, ada anak yang melakukan kesalahan atau perkara yang membahayakan diri, tetapi mereka tidak tahu akan akibatnya. Berdasarkan pengalaman seorang ibu, ia boleh dijadikan sebagai ingatan kepada anak tersebut. Bukanlah niat ibu untuk menimpakan sesuatu yang buruk kepada anak-anak, hanya peringatan agar setiap anak berwaspada dan berhati-hati. Sesuatu perkara yang buruk itu tidak akan berlaku melainkan dengan keizinan daripada Allah SWT. Justeru, ibu sentiasalah beristighfar kepada Allah SWT jika tersalah kata dalam ucapannya terhadap anak-anak. Berdasarkan kepada hadith yang boleh dijadikan doa dan amalan harian seorang ibu sebagaimana yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda : سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.