Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan, Surau kami ada membuat permohonan untuk memasang karpet baharu. Bagi mendapatkan dana, kami telah melancarkan Sumbangan Waqaf Karpet menerusi surat, e-mel dan whatsapp. selepas satu ketika, didapati sumbangan daripada orang ramai/korporat melebihi jumlah yang diperlukan. Soalannya bagaimana untuk menguruskan lebihan sumbangan ini? Mohon penjelasan tuan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, jika mengikut kepada hukum asal, kutipan yang telah dikhususkan untuk sesuatu projek atau tujuan hendaklah digunakan untuk tujuan tersebut dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, kerana niat atau hajat pewakaf telah jelas daripada awal. Pihak surau hendaklah menjalankan amanah pewakaf tersebut dengan penuh cekap dan telus. Adapun jika kutipan tersebut melebihi keperluan sebenar dan pihak surau memutuskan untuk menggunakannya bagi tujuan lain, maka perkara tersebut adalah dibolehkan selagimana ianya masih bersifat wakaf yang boleh dimanfaatkan oleh orang Islam asalkan masih berkaitan dengan surau. Perkara tersebut juga hendaklah sedaya yang mampu mengumum dan menghebahkan keputusan tersebut melalui pengumuman Jumaat dan kaedah lain yang dirasakan sesuai selagi ianya dapat memberi makluman kepada pewakaf dan anak kariah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.