Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Pertanyaan mengenai Solat Jumaat bagi pekerja syif, dimana mereke perlu mengawal operasi mesin yang berjalan 24jam. Adakah nasihat yang boleh diberikan mengenai soal ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum solat Jumaat bagi setiap individu muslim adalah wajib. Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat Yang sebenarnya)”. (Surah al-Jumuah: 9) Oleh itu, tidak harus ke atas mereka untuk meninggalkannya dengan sengaja. Kesibukan bekerja dengan alasan untuk mengekalkan produktiviti atau keuntungan, hukumnya adalah berdosa. Sebagai majikan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membenarkan pekerja yang beragama Islam untuk melaksanakan Solat Jumaat. Sekiranya dihalang, pekerja terbabit mempunyai hak untuk membuat aduan kepada Kementerian Sumber Manusia. Dalam isu ini, hanya bidang pekerjaan yang membabitkan kepentingan awam atau menjaga kemaslahatan dan kepentingan yang tidak dapat dielakkan dihukumkan harus bagi pekerja terbabit untuk meninggalkan Solat Jumaat. Ini kerana berlaku keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Seperti contoh tentera yang menjaga sempadan, polis trafik yang menjaga lalu lintas, doktor yang bertugas di dalam bilik bedah yang mana waktu gilirannya bertugas berbetulan pada waktu Solat Jumaat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.