BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum wbt, Saya ingin bertanya apakah cara terbaik dan yang boleh saya lakukan apabila seorang ibu berlebihan dalam mengambil atau menuntut duit anak-anaknya meskipun dia sedar yang anaknya juga kurang berkemampuan? Terkadang ibunya merajuk apabila tidak mendapatkan wang tersebut dan hal ini benar-benar mengguris hati anaknya yang inginkan ibunya memahami situasinya. Apakah berdosa seorang anak itu apabila tidak memberikan wang tersebut, dan bolehkah seorang anak menegur perbuatan ibunya yang dianggap tidak betul? Sekian pertanyaan saya, moga mendapat sedikit sebanyak pencerahan. Assalamuaikum.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, dalam harta yang dimiliki oleh anak, terdapat hak untuk ibu bapanya. Berdasarkan kepada hadith berikut : عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال جاء رجل إلى النبي ﷺ فقال إن أبي اجتاح مالي. فقال: أنت ومالك لأبيك. وقال رسول الله ﷺ : إن أولادكم من أطيب كسبكم فكلوا من أموالهم. Maksudnya : “Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya iaitu Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash katanya, ada seorang yang menemui Nabi SAW lalu berkata, “Sesungguhnya ayahku itu mengambil semua hartaku.” Nabi SAW bersabda, “Kamu dan semua hartamu adalah milik ayahmu.” Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya anak-anak kalian adalah termasuk jerih payah kalian yang paling berharga. Makanlah sebahagian harta mereka.” (Riwayat Ibnu Majah) Dalam situasi puan, kami berpandangan bahawa, puan boleh memberikan duit yang diminta oleh ibu berdasarkan kepada kemampuan dan komitmen puan dengan cara hikmah dan bijaksana. Mudah-mudahan ibu memahami keadaan yang dihadapi oleh anaknya. Apa yang diminta oleh seorang ibu itu tidaklah setanding dengan kesusahan dan jerih payah ibu melahirkan dan membesarkan anak-anaknya. Tuntutan anak untuk berbakti kepada ibu itu lebih utama. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya; جاء رجل الى رسول الله ﷺ فقال : من أحق الناس بحسن صحابتي قال أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أبوك Maksudnya : “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, “Siapakah dari keluargaku yang paling berhak untuk berbakti?”. Jawab Rasulullah SAW, “Ibumu”. Pemuda itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?”. Baginda menjawab, “Ibumu”. Ditanya lagi, “Kemudian siapa?”. Jawabnya, “Ibumu”. Pemuda tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa”. Nabi SAW menjawab, “Kemudian bapamu”. (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 146

message user image