Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, tuan..adalah menjadi kelaziman di kebanyakan masjid mengadakan majlis bacaan yaasin pada malam jumaat selepas solat maghrib..soalan saya jika masjid mengadakan majlis ilmu atau kuliah, mana yang lebih afdhal? Terima kasih tuan..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, menuntut ilmu dan membaca al-Quran merupakan dua perkara yang amat digalakkan dalam Islam ke atas umatnya, kerana kedua-dua ibadat ini memberi kesan yang baik di dalam jiwa dan penyebab untuk mendekatkan manusia kepada Allah SWT. Berkaitan kelebihan menuntut ilmu, hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ RA, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ; من سلك طريقا يطلب فيه علما؛ سلك الله به طريقاً من طرق الجنة، والملائكة تضع أجنحتها رضا لطالب العلم، وإن العالم يستغفر له من في السموات، ومن في الأرض، والحيتان في الماء، وفضل العالم على العابد كفضل القمر ليلة البدر على سائر الكواكب، إن العلماء ورثة الأنبياء، إن الأنبياء لم يورثوا ديناراً ولا درهما، وأورثوا العلم، فمن أخذه؛ أخذ بحظ وافر Maksudnya ; “Sesiapa yang menunjuk jalan kepada orang lain untuk mendapatkan ilmu, Allah SWT akan menunjuk jalan kepadanya menuju syurga, dan malaikat akan melabuhkan sayapnya sebagai tanda redha kepada penuntut ilmu. Dan sesungguhnya penghuni langit dan bumi, begitu juga dengan ikan di dalam air memohon keampunan kepada seorang yang alim, dan kelebihan orang alim ke atas seorang abid (ahli ibadah) adalah seperti kelebihan bulan mengambang ke atas bintang-bintang yang lain. Sesungguhnya ulamak itu pewaris para nabi, sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham (harta), tetapi mereka mewariskan ilmu, barang siapa mempelajari ilmu tersebut maka dia telah mendapat keuntungan yang besar”. (Riwayat al-Tirmizi) Membaca al-Quran juga termasuklah membaca surah yasin merupakan amalan yang baik dan bermanfaat. Perkara ini dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda; من قرأ يس في ليلة ابتغاء وجه الله غفر له Maksudnya; “Sesiapa yang membaca surah yasin pada suatu malam dengan mengharap keredhaan Allah SWT maka dia akan diampunkan”. (Riwayat Ibnu Hibban) Keutamaan di antara dua amalan ini adalah mengikut keperluan masyarakat setempat. Pihak masjid juga boleh mempertimbangkan untuk mengilirkan amalan malam jumaat dengan majlis ilmu dan bacaan surah yasin. Sekiranya masyarakat di sesuatu kariah lebih cenderong untuk membaca yasin pada malam jumaat, maka amalan itu lebih utama diteruskan. Akan tetapi jika kehendak penduduk sebaliknya, maka boleh diadakan majlis ilmu bagi meraikan penduduk setempat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.