Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: salam. saya ada anak tiri lelaki yang sudah berkahwin. mereka mempunyai anak yang bertaraf anak luar nikah. jantinanya lelaki berusia 2 tahun. saya ada 3 orang anak dengan suami. saya nak tau apa hubungan antara anak saya dengan anak luar nikah tersebut? adakah batal wuduk jika tersentuh? mohon penjelasan bagi mengelak masalah yang mungkin akan timbul nanti. terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hubungan antara anak puan dengan anak tidak sah taraf tersebut adalah pakcik/makcik dan anak saudara. Ia dikira mahram disebabkan perkahwinan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (an-Nisa' : 23) Tidak batal wuduk jika tersentuh antara satu sama lain, boleh bersalam dan tidak wajib menutup aurat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.