Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum,tetamu yang datang ke rumah membawa rahmat tetapi bagaimana kalau tetamu yang sama kerap datang ke rumah hingga menggangu keselesaan tuan rumah? Bagaimana jika tetamu tersebut ibu bapa mertua adakah salah memasuki rumah anak menantu dengan kunci pendua sesuka hati? Adakah berdosa sebagai tuan rumah berperasaan tidak selesa dengan kunjungan yang kerap tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tetamu sepatutnya menjaga adab sebagai tetamu walaupun di rumah anak sendiri, kerana setiap orang perlu ada masa untuk bersama keluarga sendiri tanpa gangguan. Ibu bapa juga sepatutnya perlu memahami situasi anak-anak yang adakalanya perlu kepada kehidupan sendiri tanpa gangguan, walaupun rumah yang dikunjungi adalah rumah anak sendiri. Bagaimanapun, sebagai seorang anak masih wajib menghormati ibu bapa yang datang berkunjung. Tidaklah berdosa sekiranya timbul perasaan ketidakselesaan kepada tuan rumah, terhadap tetamu yang kerap datang berkunjung sehingga mengganggu keselesaan tuan rumah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.