BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Dato'/Tuan/Ustaz Umumnya sesi rawatan Ruqyah berisiko kepada pesakit untuk muntah. Mungkin sesetengah pesakit telah mengetahui sekiranya dia diruqyah dia akan muntah. Dan perawat telah maklum risiko ruqyah adalah pesakit akan muntah. Soalan saya, jika aktiviti rawatan ruqyah dilakukan pada siang hari di bulan Ramadan dan pesakit muntah semasa rawatan ruqyah dijalankan, adakah dikira sebagai muntah dengan sengaja dan boleh membatalkan puasa? Sebab pesakit dan juga perawat telah maklum kemungkinan pesakit akan muntah semasa proses ruqyah dijalankan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, antara perkara yang membatalkan puasa adalah muntah dengan sengaja. Maksud muntah dengan sengaja ialah dengan menjolok-jolok lidah ke lelangit sehingga meyebabkan muntah. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda : من ذرعه قيء وهو صائم فليس عليه قضاء وإن استقاء فليقض Maksudnya : “Barangsiapa yang muntah dengan tidak sengaja ketika sedang berpuasa, maka tidak perlu qadha’ baginya dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka ia hendaklah mengqada’ puasanya” (Riwayat Abu Daud) Imam Abu Daud mensyarah hadith di atas dengan menyatakan bahawa, “Termasuk dalam makna muntah dengan tidak sengaja adalah apa yang biasanya terjadi kepada manusia seperti termasuk lalat dalam kerongkongnya dan masuk air ke dalam perutnya seperti air banjir (tertelan air banjir) dan menyerupai perkara ini, sesungguhnya ianya tidak merosakkan puasanya” (Ma’alim al-Sunan) Muntah yang tidak membatalkan puasa juga adalah jika dalam keadaan dipaksa oleh tubuh untuk muntah. Kecuali jika muntah itu kembali masuk ke dalam perutnya atas usahanya sendiri, maka batal puasanya. Dalam situasi menerima rawatan ruqyah semasa sedang berpuasa, maka puasanya dikira sah dan tidak batal kerana ianya bukanlah atas usaha sendiri, tetapi ianya dipaksa oleh tubuh badan. Semoga kita dapat memelihara puasa kita dengan semampu yang mungkin dan berusaha untuk berpuasa dengan sempurna. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 423

message user image