Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: TALAK 2 ATAU 3? Assalamualaikum tuan mufti. Saya seorang isteri yg mempunyai 3 orang anak. Saya baru diceraikan suami kemarin pada 5 Mei 2019. Sehari sebelum puasa. Masalahnya pada lafaz talak yg mengelirukan. Dan saya demi Allah tak akan sesekali mengetepikan hukum Allah hanya kerana sayang pada seorang makhluk yg bernama suami. Suami saya lafazkan "Aku ceraikan talak 2". Saya pun balas, "Dulu dah sekali, ni 2 kali. Maknanya dah 3 kali talak." Lalu suami balas, "Bukan macam tu. Dulu 1 ni yg kedua la. Talak yg kedua." Lalu suami ulang kembali lafaz agar saya tak salah faham, "Aku ceraikan dengan talak kedua." Saya menggeleng kepala. Saya tahu suami saya serabut dan paling penting dia sendiri tak reti nak lafaz. Pada suami, cerai kali pertama perlu sebut "Talak 1" , cerai kali kedua perlu sebut "Talak 2" dan cerai kali ketiga perlu sebut "Talak 3". Saya keliru. Saya yakin suami saya tak berniat nak bagi talak 2 sekali gus jadi talak ketiga sebab dua tahun lepas pada tarikh yg sama beliau lafazkan talak atas ugutan saya akan bunuh dia. Itu lafaz talak yg dia berikan, "Abg ceraikan Ayg dengan talak 1 kerana Allah." Dia memang susah nak lafazkan talak sehingga saya mengugut dan kali ni saya mencabar dia. Dia jahil sikit bab agama. Bab nikah talak fan tanggungjawab kalau ditanya mesti tak lepas. Utk pengetahuan ustaz, kes cerai pertama kami, kami tak ada buat laporan di pejabat agama kerana mendapat bantahan dpd sebelah pihak mentua. Tapi tarikh dan masa masih saya simpan sebab waktu tu saya sedang mengandungkan anak ketiga 8 bulan. Sekarang ni ustaz..saya sangat keliru..apakah sekarang ni dah jatuh talak 2 atau 3 ye? Suami benar2 maksudkan bercerai kali kedua tapi disebutnya talak 2. Dia sendiri yakin niat dan lafaz talak dia tu untuk menceraikan saya kali kedua bukan nak habiskan semua talak. Saya kesian ke suami tapi saya sangat takut dengan hukum Allah. Saya risau kalau jatuh talak 3 tapi kami masih lagi serumah ia akan jadi fitnah. Saya bercerita situasi yg sejujurnya. Tak ada yg disembunyikan atau dilebihkan. Saya tak ada niat nak berbaik dgn suami. Tapi nampak gaya suami masih sgt sayangkan saya dan risau dia akan merujuk saya balik. Puas dah saya pujuk pg pejabat agama..tapi macam2 alasan dia berikan. Saya buntu jadi saya harap ustaz dapat berikan pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, talak yang dilafazkan oleh suami : “Aku ceraikan talak 2”, merupakan lafaz talak yang soreh (jelas). Lafaz talak adalah perkara yang tidak boleh ditarik balik dan dipermain-mainkan. Ini dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk”. (Riwayat Abu Daud ) Puan, sebaik-baiknya urusan yang melibatkan perceraian hendaklah dikemukakan terus ke Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran untuk disahkan dan direkodkan. Tidak boleh disembunyikan walau apa alasan sekalipun. Justeru, pengiraan tempoh iddah bermula sebaik sahaja pengesahan talak berlaku terhadap puan. Selagi mana urusan talak pertama tidak diselesaikan, selagi itulah ia akan memberi kesan dan kesulitan dikemudian hari. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.