Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz/ustazah yang dihormati, semasa belajar di sekolah asrama pada tahun 1984. Masa tu saya tingkatan 3, berumur +15 tahun. Saya berhutang dengan kedai koperasi sekolah, rasanya RM2 - RM4 (tak ingat sebab lama sangat). Saya ambil jajan tapi hutang dulu sebab tak bawak duit masa tu. Saya nak bayar nanti. Lengah2, lama-lama lupa. 33 tahun sudah berlalu & saya menghampiri 50 tahun. Bila teringat, saya rasa bersalah kerana saya fikir berhutang kepada koperasi bermakna berhutang dengan ahli-ahli koperasi (semua pelajar-pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 yang berjumlah 700 - 800 orang). Semua pelajar diwajibkan jadi ahli koperasi bila daftar masuk sekolah. Tahun lepas saya join whatsapp bekas pelajar sekolah lama tapi yang sama umur/batch sahaja tapi saya rasa segan pula nak beritahu dalam whatsapp. Pada masa yang sama, saya risau bila dengar ustaz-ustaz di tv berkata hutang dengan manusia mesti dibayar. Kalau tak bila mati, amalan/pahala kita akan tergantung & di akhirat pula kena cari setiap orang yg kita hutang minta halalkan.Saya buntu macam mana nak jelaskan hutang ini. Saya terfikir mahu mengupah orang untuk mencari semua bekas2 pelajar & meminta maaf atau membayar wang kepada setiap mereka. Ada juga yang dah meninggal dunia. Saya berharap sangat pada nasihat ustaz. Didahului dgn jutaan terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sememangnya dalam Islam, hutang adalah wajib untuk dilunaskan bahkan membawa gambaran kesempurnaan amalan ibadah tidak akan lengkap jika masih terdapat hutang yang tidak dilunaskan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdillah bin ‘Amr bin ‘Ash bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Maksdunya : “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang.” (Riwayat Muslim) Manakala orang yang sentiasa ingat dan membayar hutangnya adalah golongan yang sangat baik sebagaimana dalil yang diriwayatkan daripada Abu Rafi’ RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Maksudnya : “Sesungguhnya yang paling di antara kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang.” (Riwayat Bukhari) Berkenaan hutang puan dengan pihak koperasi semasa kecil, adalah memadai dengan membayarnya kepada koperasi tersebut. Tidak perlu mengupah seseorang untuk mencari semua bekas-bekas pelajar bagi melunaskan hutang, kerana puan hanya berhutang dengan koperasi bukan individu. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.