Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan/puan. Apakah penjelasan mengenai hikmah penyembelihan dari sudut alam sekitar? Bersertkan dengan dalil al-quran. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, umat Islam wajib menyembelih binatang ternakan yang halal dimakan sebelum memakannya. Ini bermakna, binatang ternakan yang mati bukan sebab disembelih dengan kaedah Islam adalah bangkai dan ianya haram dimakan. Jika melihat dari sudut alam sekitar, sembelihan Islam perlu dilakukan dengan cara yang bersih. Bekas pancutan darah, najis binatang dan sebagainya perlulah dibersihkan semula samaada menggunakan air atau tanah. Sesetengah negara membina rumah sembelihan moden yang lebih teratur dan sempurna sistem pembersihannya. Perkara tersebut amat sesuai dan selari dengan tuntutan agama iaitu dalam perkara menjaga kebersihan. Firman Allah SWT; كُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ مِن رِّزْقِ ٱللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ Maksudnya ; “Dan Kami (Allah) berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi". (al-Baqarah:60) Mengabaikan kebersihan merupakan salah satu perkara kerosakan yang ditegah oleh Allah SWT. Suruhan ini bersifat menyeluruh dan termasuklah kebersihan ketika melaksanakan sembelihan Islam. Dalam kita mentaati suruhan Allah SWT untuk memakan binatang ternakan yang disembelih mengikut Hukum Syarak, kita juga dituntut untuk menjaga alam sekitar dan muka bumi Allah SWT ini dari sebarang pencemaran dan kerosakan, kerana ianya akan mengundang kemurkaan Allah SWT dan boleh menyakiti hati dan perasaan orang lain. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.