BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Ustaz, apakah hukum seseorang itu mengatakan allah zalim tapi hanya dalam hati?.contohnya dia tidak suka sesuatu itu berlaku dan dia mengatakan allah zalim kalau allah membuatkan sesuatu itu berlaku ke atasnya.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, jika dalam bentuk lintasan hati dan tidak diqasad dan diiktiqadkan tidak mengapa, tetapi jika ia dibiasakan dan tiada usaha untuk menghindarkan ditakuti ia akan menjadi suatu pendirian atau pegangan. Jika pun tidak mengatakan Allah sebagai zalim, ia boleh meragukan tentang sifat keadilan Allah SWT yang bersifat mutlak, yang merupakan salah satu daripada nama-nama sifatnya (العدل). Sebagai orang yang beriman, kita dilarang untuk bersangka buruk terhadap Allah SWT. Perasaan bersangka-sangka terdapat kisahnya semasa peperangan Uhud dalam al-Quran yang bermaksud: “Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)". Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada”. (Ali'Imraan : 154) Justeru, berbaik sangkalah dengan Allah SWT bahawa setiap yang berlaku adalah di bawah kekuasaanNya dan pengetahuanNya. Firman Allah SWT; Maksudnya : “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah : 216) Allah SWT tidak menzalimi hambaNya; إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظْلِمُ ٱلنَّاسَ شَيْـًٔا وَلَٰكِنَّ ٱلنَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Yunus : 44) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih. ..................…………………………………. …............................................................... (T.T Panel Penyemak & Tarikh)


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 154

message user image