Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Boleh kah seorang muslim menghadiri perkebumian orang bukan islam
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tiada larangan dalam Islam untuk berbuat baik dengan menziarahi kematian bukan muslim yang berakhlak baik dan tidak memusuhi Islam. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA, ia berkata: “Suatu jenazah melewati kami, lalu Nabi SAW berdiri kerananya, dan kami pun berdiri, kami bertanya: “Wahai Rasulullah, jenazah itu adalah jenazah yahudi.” Beliau bersabda: إذا رأيتم الجنازة فقوموا Maksudnya: “Jika kamu melihat jenazah berdirilah.” (Riwayat al-Bukhari) Berkata Sheikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj yang bermaksud: “Dan mentakziah akan orang kafir yang dihormati adalah harus kecuali jika berharap akan keIslamannya maka sunat.” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.