Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin mengajukan pertanyaan berhubung perkara dibawah; 1. Didalam ahli keluarga kami ada seorang lelaki dewasa yang tidak mengerjakan solat dan berpuasa, beliau masih tidak mengerjakan solat walaupun telah kerap kali ditegur ahli keluarga. Kini seluruh ahli keluarga tidak lagi menegur beliau kerana teguran hanya menyebabkan perbalahan. Namun kami tidak pernah berhenti berdoa untuknya. Adakah kami ahi keluarga sama-sama berdosa kerana tidak lagi menegur beliau. 2. Najis air kencing orang dewasa pada tilam tidak dapat dibersihkan. Hanya dapat dibersihkan dipermukaan. Terdapat tompokan pada tilam setelah kering, tetapi tidak lagi berbau. Hanya cadar/pelapik tilam yang ditukar. Apakah hukum masih menggunakan tilam tersebut, malah melakukan ibadah seperti membaca alquran diatasnya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Firman Allah SWT : كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)”. (Ali’Imran : 110) Ayat di atas menunjukkan keistimewaan serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT ke atas umat Nabi Muhammad SAW iaitu mengajak manusia untuk melakukan kebaikan (mentaati segala perintah Allah) dan melarang manusia dari melakukan segala perkara yang keji (melanggar perintah serta larangan Allah). Oleh itu tanggungjawab menasihatkan individu yang tidak solat tetap menjadi kewajipan ahli keluarga yang lain, cuma penambahbaikan dari sudut kaedah menasihati yang sesuai perlu difikirkan bersama antara ahli keluarga. Apabila tiada lagi orang yang menasihati maka seluruh ahli keluarga yang mengetahui perkara tersebut akan mendapat dosa kerana mengabaikan tanggungjawab mengajak manusia untuk melakukan kebaikan (mentaati segala perintah Allah) dan juga tanggungjawab melarang manusia dari melakukan segala perkara yang keji (melanggar perintah serta larangan Allah). Oleh kerana tilam tersebut telah dicuci, maka ia masih boleh digunakan, asalkan cadarnya bersih dan boleh membaca al-Quran. Secara umum, najis yang tidak dapat dibersihkan jika najis tersebut telah kering, maka apa-apa benda yang sama-sama kering (kering dengan kering) bersentuhan dengannya adalah dimaafkan. Tetapi jika salah satunya basah, maka ianya dihukumkan sebagai najis. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.