Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya seorang pelajar di Amerika Syarikat. Secara ringkasnya, saya tidak menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang muslim iaitu mengamalkan rukun Islam. Namun, saya sudah bertaubat tetapi saya mempunyai beberapa soalan yang sering bermain di fikiran saya. Saya berharap tuan/puan dapat menolong saya dalam persoalan saya. Pertama sekali, sembahyang saya terdapat banyak lopong sejak saya baligh. Anggaran saya, saya telah meninggalkan sembahyang sebanyak 5300 kali pada setiap waktu(Zohor = 5300 kali, Subuh = 5300 kali, dll). Saya bertekad untuk menqada sedikit demi sedikit tetapi saya ada terbaca bahawa sembahyang yang sengaja ditinggalkan tidak boleh diqada. Saya tidak pasti apa yang patut saya buat tentang jumlah sembahyang yang saya sudah tinggalkan tersebut. Soalan kedua, saya juga mempunyai lopong dalam puasa saya. Saya anggarkan saya telah meninggalkan sebanyak 360 hari puasa. Saya yakin bahawa ada tahun saya lengkap dalam ibadah puasa saya tetapi saya tidak pasti jumlah sebenar puasa yang saya tinggal. Oleh itu, saya hanya ambil jumlah puasa sejak saya baligh bagi memastikan puasa yang saya tinggalkan. Mengikut pengetahuan saya, saya perlu membayar fidyah dan juga menggantikan puasa2 tersebut itu. Adakah itu betul? Bagaimana cara terbaik untuk saya kendalikan puasa-puasa yang saya tinggalkan ini.Bagaimanakah cara untuk membayar fidyah? Soalan ketiga, saya pernah terambil barang hak orang lain dan juga mencuri duit ibubapa saya di dompet. Saya juga ada mengambil makanan tanpa kebenaran semasa duduk bersama orang lain di Amerika Syarikat. Semasa awal-awal saya mendapat lesen kereta, saya ada tergeser dengan kereta lain yang membuatkan kereta orang tersebut calar tetapi saya hanya lari sebab takut. Kesemuanya di atas, adalah salah antara manusia. Saya sudah bermula untuk berjumpa dengan orang yang saya telah curi barangnya dan meminta maaf serta ingin memberi duit bagi kerugian mereka. Namun begitu, ada beberapa orang yang saya tidak dapat menjumpai dan seperti kereta yang saya langgar tersebut, saya tidak kenal langsung. Saya juga takut jika saya ada terhutang dengan orang lain tetapi belum menjelaskan hutang tersebut. Bagaimanakah solusi yang terbaik bagi kejahatan yang saya telah buat dengan orang-orang tersebut? Saya sangatlah berasa sedih dan menyesal. Terima kasih. Minta maaf jika persoalan saya banyak, website Mufti Selangor memberi notis bahawa persoalan dua awal saya tidak berjaya. Minta maaf jika soalan ini datang secara berulang-ulang..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, alhamdulillah, saudara sedar akan segala tanggungjawab dan kewajipan yang perlu dilaksanakan serta telah bertaubat atas segala kesilapan dan kealpaan yang lalu. Qada’lah solat-solat terdahulu yang telah ditinggalkan. Lakukanlah qada’ solat tersebut sebanyak yang termampu kita lakukan berdasarkan kepada sangkaan yang berat jumlah waktu solat yang telah ditinggalkan. Sebagaimana solat yang perlu diqada’ begitu juga dengan puasa wajib yang ditinggalkan. Laksanakanlah qada’ puasa sebanyak mana jumlah yang telah ditinggalkan. Bagi puasa lampau yang telah ditinggalkan bertahun, qada’lah puasa tersebut beserta dengan wajib membuat bayaran fidyah mengikut jumlah bilangan hari puasa yang telah ditinggalkan. Bagi memudahkan urusan bayaran fidyah tersebut saudara boleh berurusan di mana-mana kaunter atau pusat pungutan Lembaga Zakat Selangor yang berhampiran atau secara online. Kadar fidyah dikira berasaskan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Kadar secupak beras berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Contoh pengiraan fidyah sekiranya ditinggal puasa selama 360 hari dengan kadar secupak beras di Selangor adalah RM 1.80 sehari. 360 hari X RM 1.80 (secupak) = RM 648.00 Alhamdulillah, saudara telah mengambil tindakan yang sangat baik dalam usaha untuk bertaubat daripada segala kesilapan lampau. Teruslah berusaha mengenalpasti individu yang saudara rasakan pernah berbuat salah dan silap kepadanya. Mohonlah kepada Allah supaya diberi kemudahan untuk mencari individu yang terbabit. Mudah-mudahan Allah memandang segala usaha tersebut sebagai jalan-jalan mendapatkan redha-Nya. Saudara juga boleh memanfaatkan teknologi terkini dengan memanfaatkan media sosial yang ada bagi mencari dan mengesan individu atau orang-orang yang berkaitan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.