BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Ingin mendapat pencerahan bagi perkara berikut. Selepas bersalin anak ketiga, kitaran haid dan pendarahan menjadi tidak teratur dan abnormal. Bila dirujuk kepada Doktor, terdapat permasalahan di dalam rahim yang mengganggu kitaran dan pendarahan haid. Keputusan dibuat untuk menggunakan IUD untuk mengurangkan pendarahan dan mengawal kitaran haid. Timbul masalah lain dimana pendarahan yang tidak menentu dan pendarahan selepas melakukan seks. 1. Adakah batal puasa jika spotting (pendarahan sedikit) selepas melakukan seks berlaku selepas mandi wajib dan telah berpuasa. 2. Adakah pendarahan sedikit (spotting) yang berlaku tetapi tidak berterusan dikira sebagai haid. Difahamkan melalui bacaan pendarahan berterusan selama 24 jam baru dikira sebagai darah haid. Jika spotting berlaku sedikit dan sekali dalam tempoh 24, adakah dikira batal puasa pada hari tersebut. 3. Jika spotting berlaku sebelum atau selepas haid yang normal (pendarahan yang berterusan), adakah batal puasa pada hari tersebut? selalunya berlaku dengan jarak sehari dua dalam keadaan suci/bersih sebelum spotting bermula.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan; 1. Tidak batal puasa sekiranya ia sekadar tompokan kecil darah dan tempoh masanya kurang daripada 24 jam. Tompokan sebegini dikira sebagai darah penyakit. 2. Pendarahan yang berlaku sekadar tompokan kecil darah dan keluarnya tidak berpanjangan sehingga 24 jam, tidaklah dianggap sebagai darah haid. Sekiranya puan sedang berpuasa, pendarahan seperti ini tidak membatalkan puasa. 3. Jika darah (spotting) keluar sebelum haid yang normal dan ia adalah dalam tempoh haid yang sepatutnya dan yakin ia adalah darah awal haid maka puasa tersebut batal, kerana ia dikira darah haid. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 1844

message user image