Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Persoalan saya apakah terlalu mudah seorang isteri itu dikira nusyuz oleh suami sedangkan selama ini tidak pernah sekali pun di halang oleh suami dalam mengharungi kehidupan seharian. Untuk makluman ustaz, saya baru tahu suami saya berkahwin seorang lagi pada Ogos tahun lepas. Sedangkan dia dah kahwin Jun 2016. Selepas saya mengetahui perkahwinan mereka, setiap kali kami bergaduh suami saya akan cakap saya akan nusyuz kalau keluar rumah. Sedangkan 25 tahun lebih saya berkahwin dan bekerja tidak pernah dia nak ucapkan . Saya adalah seorang isteri yang berkerja, saya ada komitmen pada majikan saya. Saya bekerja juga adalah hanya untuk membantu menambah pendapatan keluarga saya. Betul ke ustaz, saya akan di kira nusyuz dalam permasalahan saya ini. Saya semakin tertekan dengan permasalahan ini ustaz. Dan suami saya sering menipu saya dengan pelbagai alasan hanya untuk dia berjumpa dengan isteri dia. Suami saya tidak pernah berlaku jujur terhadap saya. Saya pernah memohon cerai di mahkamah Banting pada September 2018, Namun suami saya merayu untuk saya memberi peluang sekali lagi. Dia berjanji dan bersumpah akan bercerai dengan isterinya selepas habis pantang (pertengahan Disember 2018) dengan pelbagai alasan. Tapi semenjak isteri dia balik ke Sarawak malah dia sering ulang alik ke sana. Bulan April , saya ada program di Pangkor . Dalam diam dia ke Sarawak jumpa isteri dia tanpa bercakap dengan saya, tapi naluri seorang isteri saya dapat tahu juga akhirnya. Dan bila saya ungkit, ungkapan nusyuz akan keluar lagi. Hujung minggu lepas, saya dengan izin dia balik ke kampong, tapi dia tidak ikut sama dengan alasan ada program berbuka di taman saya. Seperti yang saya kata naluri seorang isteri dapat rasakan, dia tipu saya untuk sekian kalinya. Dan memang nyata dia ke Sarawak sekali lagi. Dan bila saya pertikaikan, maka keluarkan sekali lagi ungkapan nusyuz seorang isteri itu. Haram saya keluar rumah walau seinci. Sedangkan saya ada tanggungjawab pada majikan saya ustaz. Saya ada tanggungjawab jaga makan minum anak dan keluarga. Mohon penjelasan dari pihak ustaz atas permasalah saya hadapi .
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, nusyuz dalam perkahwinan ialah perbuatan isteri yang ingkar dan tidak taat suaminya dalam perkara yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya”. (an-Nisa’ : 34) Justeru, jika seorang isteri disabitkan sebagai nusyuz, hilanglah kelayakannya untuk mendapat nafkah dari suaminya, sehinggalah isteri tersebut kembali taat dan patuh kepada suaminya. Suami juga berperanan untuk mengembalikan isterinya agar tidak nusyuz dengan cara yang berhikmah. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”. (an-Nisa’ : 34) Perlu diingat bahawa seorang suami juga boleh jadi nusyuz, iaitu tidak menjalankan tanggungjawabnya kepada isteri dan anak-anaknya, atau tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya (yang berpoligami). Adapun, jika isteri dilarang keluar bekerja, sedangkan suami tidak mampu untuk menyara keperluan isterinya sendiri dan anak-anak, atau menanggung hutang sehingga membebankan isteri, tidaklah dikira sebagai nusyuz, sedangkan kewajipan suaminyalah yang menanggung nafkah isteri dan anak-anaknya. Oleh kerana puan pernah membuat permohonan cerai pada tahun 2018, dan peluang telah diberi kepada suami untuk memperbaiki rumahtangganya, maka puan boleh membuat pilihan yang terbaik demi masa depan puan dan anak-anak terhadap rumahtangga puan, agar situasi ini tidak berterusan untuk puan meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan bahagia. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.