Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya nak bertanya soalan dan mohon pendapat. 1) Jika pernah terlibat dgn perjudian dan ada hasil perjudian tetapi pelaku mahu bertaubat apa yg perlu dilakukan dengan hasil tersebut.? 2) Pelaku tersebut pula ada berhutang dengan saudaranya, dalam masa yang sama pemiutang pula terdesak perlukan wang dan meminta pada pelaku membayar hutangnya. Bolehkah pelaku tadi membayar hutang kepada pemiutang menggunakan hasil atau sumber syubhah yang ada kerana tiada wang "bersih" yg mencukupi untuk bayar kepada pemiutang tanpa pemiutang mengetahui sumber wang tersebut.? Jika tidak membayar, boleh jadi perbalahan besar sesama saudara tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, 1. Hasil daripada perjudian tersebut perlu diserahkan kepada pihak Baitulmal atau boleh diserahkan kepada pihak yang ada autoriti untuk digunakan bagi kemaslahatan umum, kerana ia adalah wang tidak patuh syariah. 2. Pelaku tersebut boleh membayar hutang kepada pihak pemiutang menggunakan dahulu wang hasil perjudian tersebut bagi mengelakkan daripada berlaku perbalahan di antara mereka. Hutang di antara keduanya dianggap telah selesai. Bagaimanapun, pelaku masih perlu ganti dengan membayar dan menyerahkan hasil perjudian yang telah digunakannya kepada pihak Baitulmal kerana wang tersebut adalah wang haram dan tidak patuh syariah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum ustaz..
Saya ingin bertanyakan soalan mengenai Atomy.. Seperti semua sedia maklum berkenaan maklum balas sebelumnya mengenai perniagaan Atomy, yakni mengandungi unsur syubhah dan larangan Dalam membantu, bekerjasama dalam penyebaran agama lain seperti yang telah di tanya oleh seseotang sebelum ini..
http://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=2425
Persoalan yang ingin saya ajukan adalah:
1. Bagaimanakah dengan hasil pendapatan yang diperolehi dari atomy? Adakah ianya syubhah.?
2. Sekiranya pendapatan tersebut syubhah, Bagaimanakah caranya untuk ahli atomy yang berdaftar ingin membersihkan harta, hasil pendapatan mereka tersebut.?
Sekian,
Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...
1. Menjawab kepada soalan pertama, tuan boleh rujuk : http://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=2425
2. Bagi persoalan kedua, sekiranya pendapatan hasil jual beli yang cukup syarat ianya adalah hasil pendapatan yang halal namun sebaliknya jika diyakini dengan jelas sumbernya haram atau syubhah dinasihatkan agar melakukan tindakan berikut :
والله أعلم بالصواب
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya, apakah hukum menggunakan duit kwsp untuk menunaikan haji? Sebab saya ada dengar orang cakap duit kwsp dari sumber yang syubhah. Mohon pencerahan dalam isu ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, hukum menggunakan duit simpanan yang disimpan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menunaikan haji adalah harus. Ini kerana KWSP adalah merupakan tabung yang disediakan oleh Kerajaan kepada pekerja sebagai simpanan ketika persaraan nanti. Pada ketika ini, KWSP memberi peluang kepada pencarum yang beragama Islam untuk menggunakan simpanan Akaun 2 sebagai tambahan kepada simpanan di Lembaga Tabung Haji (LTH) untuk perbelanjaan. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum wbt. Tn Mufti yang amat saya hormati, Saya punya persoalan yg amat perlukan pendapat dari yang ahli dalam bidang ini. Dan saya mohon agar segala identiti dan soalan dirahsiakan. Rakan saya ingin membeli rumah mampu milik di sebuah negeri, yg mana mensyaratkan 4 syarat utama yang dia berkelayakan semuanya kecuali 1 syarat; "lahir atau bekerja atau menetap" di negeri tersebut. Beliau ada bertanya kepada pihak berkaitan, adakah boleh untuk dia mohon dan beli dengan menggunakan alamat ahli keluarga di negeri itu sebagai alamat menetap. Mereka mengatakan boleh, walaupun dia tidak lahir atau menetap atau bekerja di sana..dan tidak dikira mengambil hak org lain kerana melalui proses tapisan. Rakan saya keliru. Jika permohonannya diluluskan, adakah dia dikira berdosa kerana menggunakan alamat bukan alamat menetap beliau? Adakah harta tersebut berkat atau syubhah? Mohon sangat respon dari pihak Tn Mufti, sebelum beliau membuat sebarang keputusan dalam ketidakpastian.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, pembelian rumah saudari adalah sah kerana memenuhi rukun-rukunnya iaitu pembeli, penjual, rumah yang dijual beli serta akad. Bagaimanapun perbuatan saudari memalsukan maklumat adalah berdosa, kerana menipu. Justeru, ia mengandungi unsur syubhah yang boleh mengurangkan keberkatan.
Sekian, terima kasih.
Soalan
Soalan: Saya ingin bertanya..Adakah rezeki halal yg kita perolehi akan bertukar menjadi rezeki yang syubhah jika kita tidak melaksanakan solat??
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Rezeki yang halal akan tetap halal. Bagaimana pun rezeki yang tidak halal akan memberi kesan kehidupan seseorang dari segi pegangan agamanya termasuk solat dan dirinya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud;
“ Ada seseorang melakukan perjalanan jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit seraya berkata: Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan keperluannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan dikabulkan”. (Riwayat Muslim)
Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti
Berdasarkan situasi berikut apa pendapat tuan mufti?
Saya pekerja kilang Majoriti kilang di Msia kepunyaan pelabur asing Pelabur asing majoriti bukan islam Mereka support Israel, Zionis, Kristian, LGBT, bekalan senjata untuk menyerang umat islam dan banyak lagi.
Kawan2 saya bekerja di syarikat utiliti (elektrik, air etc) Mereka supply ke kilang2 ini, kilang arak, gereja, tokong, kuil, kasino dan banyak lagi
Adakah pendapatan kami syubhah dan kami perlu berhenti kerja?
Harap dapat maklumbalas segera darI pihak tuan mufti.
Terima kasih
Kami pun nak masuk syurga macam tuan mufti
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap muslim untuk mencari sumber rezeki yang halal, tidak kiralah mereka yang bekerja sendiri atau makan gaji.
Berhubung dengan sumber rezeki daripada hasil makan gaji, sekiranya sesuatu syarikat dengan jelas ditubuhkan atas dasar memberi bantuan atau dana kepada agenda menzalimi umat Islam, agama Islam, membantu agama bukan Islam dan menghasilkan produk yang menyanggahi syarak maka hukum hasil bekerja di syarikat berkenaan adalah syubhah (bercampur halal dan haram) dan hendaklah dielakkan daripada terlibat sebarang urusan dengan syarikat tersebut.
Walaubagaimanapun, jika dasar penubuhan sesuatu syarikat tersebut hanya untuk pengeluaran produk untuk memenuhi keperluan semasa negara akan tetapi pemiliknya menyumbang kepada perkara-perkara yang tidak patuh shariah maka hukum bekerja di syarikat berkenaan adalah harus.
Manakala pekerjaan yang ada kaitan dengan arak sama ada sedikit atau banyak maka dilarang kita terlibat, kerana terdapat hadith yang menyatakan sepuluh golongan yang mendapat laknat kerana berkaitan dengan arak. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
لعنت الخمر بعينها وعاصرها ومعتصرها وبائعها ومبتاعها وحاملها والمحمولة إليه وآكل ثمنها وشاربها وساقيها
Maksudnya : “Terlaknat arak pada ‘ainnya, orang yang memerahnya, orang yang menyuruhnya, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang membawanya, orang yang dibawakannya, orang yang makan harganya, orang yang meminumnya dan orang yang memberi minum arak”. (Riwayat Ibnu Majah)
Sehubungan itu, umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam memilih sebarang pekerjaan supaya rezeki yang diterima diberkati dan diredhai Allah SWT.
والله أعلم بالصواب
Soalan
Assalammualaikum Mufti,
Saya ade kemusykilan berkenaan pelaburan yg ingin saya join. Mintak pandangan sedikit dr pihak Mufti.
Contoh lau kite invest rm100k kat 1 platform ni, dia janjikan pulangan modal dibayar berserta dngn untung syarikat dlm tempoh 12 bulan, adakah ianya jatuh riba? Modal dan keuntungan dibayar sekali dlm mase 12 bulan 18-20% sebulan x 12 bulan.
Contoh, modal rm100k, 18% so jadi rm18k x 12 = rm216k, keuntungan bersih setelah tolak modal ialah rm116k, keuntungan itu pihak syarikat akad sebagai PROFIT SHARING. Klau untung lebih, syarikat akan bayar paling tinggi 20%. Paling rendah 18%. Adakah ianya jatuh riba jika ade jaminan modal dan keuntungan di situ?
P/s: Perniagaan yg dijalankan adalah emas fizikal dan hartanah, perniagaan tiada unsur2 haram dan syubhah.
Minta penjelasan pihak Mufti secepat mungkin. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, konsep asas pelaburan dalam Islam adalah di atas kontrak perkongsian antara dua pihak atau lebih yang bersetuju untuk berkongsi modal dan keuntungan. Terdapat implikasi apabila pihak syarikat menjanjikan keuntungan yang akan diperolehi oleh setiap pelabur adalah sekitar antara 18-20% sebulan. Dalam kitab fiqh ada menyatakan bahawa tidak sah sesuatu pelaburan itu jika kadar keuntungan yang bakal diperolehi oleh salah satu pihak ditentukan menurut kadar jumlah tertentu. Contohnya dalam akad tersebut menyatakan bahawa pelabur akan memperolehi keuntungan bulanan berjumlah RM 100 atau 5% tanpa mengira sama ada sesuatu syarikat itu untung atau rugi. Hal ini jelas bertentangan dengan konsep pelaburan yang sebenar yang telah ditetapkan oleh Islam kerana setiap pihak perlu berkongsi kadar keuntungan dan kerugian bersama-sama dalam kadar yang dipersetujui bersama. Jika dikaji dengan lebih mendalam, kontrak pelaburan seperti ini telah berubah menjadi kontrak pinjaman yang mengandungi riba disebabkan pengusaha telah menjamin secara mutlak dividen yang akan diterima oleh setiap pelabur. Justeru kontrak seperti ini jelas menyalahi sistem muamalat Islam yang telah digariskan dalam syariat berdasarkan kepada satu kaedah :
كُلّ قَرْضٍ جَرَّ نَفْعاً فَهُوَ الرِّبا
Maksudnya : "Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat (bagi pemberi pinjam) maka ia adalah riba."
Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti iaitu agensi di bawah Bank Negara telah memutuskan bahawa sumbangan modal yang disediakan oleh setiap musyarik (pelabur dan pengusaha) dalam usaha sama mudharabah (perkongsian keuntungan) hendaklah dalam bentuk sesuatu yang wujud atau sedia ada, boleh dikenal pasti dan boleh diakses semasa kontrak dimeterai. Bentuk sumbangan modal yang dibenarkan oleh Syariah ialah dalam bentuk tunai, aset selain daripada tunai (in-kind) atau kombinasi kedua-duanya. Namun demikian, hutang tidak dibenarkan untuk dijadikan sebagai sumbangan modal dalam musyarakah dan mudharabah (rujuk Keputusan Majlis Penasihat Syariah suruhanjaya Sekuriti Malaysia bertarikh 31 Disember 2019)
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamuakailum.
Saya ingin bertanya tentang pernyataan “trade in emas dan tambah duit trade in beli emas baru, hukumnya haram ada syubhah (riba). Kalau nak beli emas baru, kena jual dulu emas lama, dan pegang dulu duit emas yang dijual tadi dan baru boleh beli emas baru. Hukumnya haram trade in emas ambil emas baru tambah duit sebab ada riba dekat situ.”
Betulkah kenyataan ini? Sekiranya betul, minta pencerahan tentang unsur riba tersebut. Apa yang perlu di buat sekiranya ada urusan jual beli emas yang menggunakan cara “trade in” begini sebelum ini.
Terimakasih.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, betul kenyataan tersebut. Emas termasuk daripada barang jenis ribawi selain perak, gandum, barli, tamar dan garam. Justeru, jual beli emas hendaklah berlaku dalam satu majlis dengan penyerahan barang dan harga secara bersama. Penyerahan harga yang dimaksudkan adalah keseluruhan harga yang dipersetujui dan bukan secara berhutang, bertangguh atau sebahagian sekiranya emas tersebut bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ubadah Ibnu Samit katanya, Rasulullah SAW bersabda :
الذهب بالذهب والفضة بالفضة والبر بالبر والشعير بالشعير والتمر بالتمر والملح بالملح مثلا بمثل سواء بسواء يدا بيد فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم إذا كان يدا بيد
Maksudnya : “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, di dalam pertukaran dan jual beli sama jenis hendaklah sama jumlah tukaran, diserah-terima pada masa yang sama, apabila jenis barangan ini berbeza, maka berjual belilah sebagaimana dikehendaki tetapi hendaklah secara serah terima (secara lani)”. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 menetapkan bahawa hukum dan syarat-syarat yang khusus jual beli emas yang bercirikan item ribawi adalah kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:
Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Sekiranya ada urusan jual beli emas yang menggunakan cara “trade in” sebegini sebelum ini ianya dimaafkan atas alasan tiada ilmu tentangnya.
والله أعلم بالصواب
Soalan
Bolehkah wang syubhah dibagi kepada adik bradik yg tidak ada kerja?
Boleh kah duit syubhah sy guna untuk byr duit sewa rumah dan bil elektrik..sbb duit halal sy dah berkurangan sgt..kalo sy bg semua duit syubhah tu sy mungkin xde duit nk byr sewa dan mungkin perlu hutang dgn org lain atau ahlong..duit syubhah tu sy ada buat beli beras bg kepada org kg sblum ni
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil”
Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ، وإنَّ بَيْنَ الحَلالِ والحَرامِ مُشتَبِهاتٍ، فمَن ترَكها استَبْرأ لدِينِهِ وعِرضِهِ
““Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat Bukhari)
Wang syubhah adalah wang yang diragui kehalalannya, atau dengan kata lain wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur dengan perkara yang dilarang oleh Syarak, seperti keuntungan pelaburan dari perniagaan yang terdapat aktiviti yang tidak jelas patuh syariah.
Manakala wang haram adalah wang yang jelas tidak halal seperti wang hasil pencurian, perjudian, rasuah atau riba. Wang haram yang diketahui pemiliknya seperti wang curi, wang rasuah, wang judi yang diketahui miliknya, maka hendaklah diserahkan kepada tuannya semula.
Kedua-dua jenis wang tersebut ia dikategorikan sebagai wang tidak patuh Syariah. Wang atau harta tidak patuh Syariah tidak boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya wang tersebut hendaklah diserahkan untuk kegunaan umum melalui Baitulmal.
Satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh Syariah atau wang haram ini telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:
i. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
ii. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.
Walau bagaimana pun, menurut salah satu resolusi yang dikeluarkan oleh Akademi Al-Fiqh Al-Islami yang berpangkalan di Arab Saudi, mengharuskan penyaluran wang atau harta tidak patuh Syariah yang tidak diketahui pemiliknya untuk diberikan bagi penggunaan fakir miskin.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, memberikan wang syubhah yang tidak diketahui pemilik asalnya kepada adik beradik yang tidak bekerja adalah dibenarkan seandainya mereka dari golongan miskin. Namun begitu, ia tidak dianggap sebagai suatu kebajikan atau taqarrub bersedekah, sebaliknya ia adakah suatu cara melepaskan wang tidak patuh Syariah dari pemilikan kita yang perlu dilakukan.
Menggunakan wang tersebut untuk membayar bil atau hutang diri sendiri adalah diharuskan seandainya dia dari golongan fakir atau miskin. Begitu juga hal keadaannya, jika menggunakan wang tersebut untuk membeli beras dan memberikannya kepada orang lain hendaklah memastikan mereka dari golongan fakir atau miskin.
والله أعلم بالصواب
Soalan
Assalamualaikum tuan, apakah hukumnya jika pada mulanya kita merasa was-was atau syubhah terhadap status berus yang digunakan dalam masakan dari bulu haiwan atau tidak, kemudian kita mendapat tahu yang berus tersebut halal dan bukan berasal dari bulu haiwan, bolehkah kita memakan makanan tersebut walupun pada awalnya kita was-was?
Jawapan
Soalan
Assalamualaikum ustaz, apakah hukumnya jika was-was terhadap kehalalan pinggan mangkuk yang dijual di kedai-kedai? Apakah jatuh haram jika kita merasa syubhah?
Jawapan
Perasaan was-was adalah berpunca daripada gangguan syaitan, maka seharusnya ditangani perasaan tersebut supaya ia tidak memberi mudharat kepada diri sendiri. Sebagaiman dalam firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 36:
“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Dalam hal ini, jika tiada bukti yang zahir bahawa adanya ain, bau atau rasa akan sesuatu najis, maka kembalilah kepada hukum asal bahawa ianya suci. Sekiranya diyakini asal sumber pinggan mangkuk tersebut berasal dari sesuatu yang haram, maka ia wajib dielakkan. Namun, jika tiada bukti ianya diperbuat daripada sumber yang haram maka kembali kepada asal hukum sesuatu itu adalah harus berdasarkan kaedah fiqh:
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus
Menurut kaedah ini adalah difahami bahawa asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). Paling mudah menyakini sumber halal atau tidak adalah dengan merujuk HALAL JAKIM sebagai badan berautoriti dalam hal ini.
Sekian, terima kasih
Soalan
Assalamualaikum. Soalan saya ialah sekarang masyarakat memboikot kedai minuman 'Starbuck' atas kerana isu palestin..Saya baru-baru ini mendapat kerja-kerja melakukan pembaikan dan penyelenggaraan di outlet Starbuck..apakah hukum dan pendapatan yang saya dapat dikira sebagai haram ,syubhah atau bagaimana? dan adakah saya dikategorikan sebagai membantu Starbuck dan ketidakbersamaan saya menyokong palestin.Mohon bantuan jabatan mufti untuk saya membuat keputusan meneruskan kerja atau meninggalkan kerja tersebut.Terima Kasih.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, kerja-kerja pembaikan yang dijalankan di outlet-outlet Starbuck adalah diharuskan. Ini kerana pihak Starbuck yang membeli perkhidmatan tuan bukannya tuan sewenang-wenangnya membeli perkhidmatan Starbuck. Oleh yang demikian, pendapatan yang diperolehi dari urusniaga tersebut adalah harus. Adapun boikot produk yang mempunyai hubungan langsung dengan Israel ini adalah berbentuk solidariti atas kezaliman yang dilakukan oleh Israel dan hukumnya bukanlah wajib. Sekiranya meninggalkan kerja-kerja tersebut dibimbangi boleh menjejaskan pendapatan maka lakukanlah kerja tersebut. Namun sekiranya dengan meninggalkan kerja-kerja itu tidak menjejaskan pendapatan maka pilihlah untuk bersolidariti bersama Palestin. Menunjukkan sokongan kepada Palestin ada banyak cara pilihlah mana-mana cara yang mampu untuk dilaksanakan.
Sekian, terima kasih
Soalan
Assalammua’laikum mufti, saya nak bertanya kembali pada soalan sebelum ini, iaitu tentang amanah dalam pekerjaan, menipu dalam pekerjaan..sehingga pada hari ini saya masih kurang senang hati..
Pada mulanya saya masuk kerja selepas saya tidak dtg 2 hari tersebut saya dtg bekerja dan tunjuk kad OKU, namun kad OKU saya dapat sikit kekeliruan kerana saya rasa tidak layak dapat kad OKU tersebut. Tapi bila dapat kad OKU saya terpengaruh dan akhirnya saya perilaku seperti kanak2 dan sebagainya.
Saya tunjuk boss kad OKU dan akhirnya mereka semua percaya, saya diberi layanan istimewa di tempat kerja, dan Boss atas beri arahan kepada boss bawahan saya seperti manager/supervisor tidak push saya buat kerja seperti staff yg lain, saya masih buat kerja tugas sebagai “Promoter” cuma saya diberi keringanan iaitu orang atasan tidak push buat kerja atau mereka tidak terlalu beri tugasan mereka kpd saya..
1. Bila saya fikirkan takut gaji saya jadi syubhah atau haram selama mana saya bekerja di company itu..saya sudah beli handphone,laptop dan tablet untuk kegunaan harian, apakah saya boleh manfaatkan harta yg saya peroleh dari gaji itu? Kerana saya sudah penat bekerja walaupun orang atasan tidak push seperti staff yg lain, bolehkah saya guna barang tersebut?
2. Saya tunjuk kad oku pada hari kedua saya bekerja sebab saya jenis slow lambat buat kerja bukan sbb sengaja cuma saya tunjuk kerana nak mereka faham yg saya slow..dan beberapa bulan baru saya laju buat kerja..(tapi perbuatan saya tunjuk Kad OKU rasa tidak layak untuk dapat kad itu itu saya menyesal).
3.Saya sangat takut jika Allah tidak terima amalan saya dan tiada kesan pahala dalam melakukan amal ibadah kerana harta yang saya masih guna dan manfaatkan itu..seperti baju, handphone, laptop, tablet dan lain2 saya sangat takut untuk gunakannya.
4. Adakah perlu pulangkan keseluruhan gaji selama mana saya bekerja di syarikat itu? Bagaimana nak tebus kesalahan ini?
5. Jika saya mahu mencari pekerjaan lain, tetapi saya ragu nak letak pengalaman kerja sebagai promoter yg saya bekerja sebelum ini daripada hasil dan perlakuan saya, bolehkah saya letak resume sebagai tidak ada pengalaman kerja? Saya bimbang jika dapat kerja disebabkan pengalaman saya sebelum ini takut menjadi tidak berkat.
Maafkan saya soalan saya banyak, Harap pihak mufti menjawab soalan saya ini kerana hati saya tidak tenang, saya tiap hari menangis mengenangkan kelakuan saya sebelum ini..
Jawapan
Berkaitan dengan pendapatan yang diterima adalah halal dan tidak berlaku syubhah kerana sememangnya kad OKU telah diberikan oleh pihak yang berautoriti berdasarkan bukti dan laporan klinikal. Rasa tidak layak itu adalah penilaian peribadi, tetapi selagi kad tersebut diperolehi berdasarkan kriteria yang telah disahkan oleh pihak berkenaan, ia tidaklah menjadi suatu kesalahan. Sekiranya anda merasakan tidak layak menerima kad OKU tersebut, boleh berhubung langsung dengan pihak yang mengeluarkan kad tersebut.
Harta yang haram atau syubhah memang boleh menjadi penghalang kepada keberkatan hidup dan ibadah. Namun, dalam kes anda, gaji tersebut tidak sepenuhnya haram kerana anda masih bekerja dan menyumbang tenaga. Yang menjadi kebimbangan hanyalah meringan-ringankan tugas, yang tidak melibatkan penipuan sepenuhnya. Langkah untuk keberkatan yang boleh dicadangkan adalah dengan melakukan taubat nasuha dengan memohon keampunan daripada Allah SWT dan berazam untuk tidak mengulangi sebarang tindakan yang mendatangkan keraguan serta gunakanlah sebahagian harta untuk bersedekah dan mohon keberkatan dalam rezeki. Gaji yang diterima pula tidak perlu dipulangkan kerana tugasan yang diberikan tetap dilaksanakan dan kerja-kerja tersebut telah memberi manfaat kepada syarikat.
Tidak salah untuk tidak menyebut pengalaman kerja terdahulu dalam resume anda jika anda merasa ragu-ragu tentang keberkatan pengalaman itu. Namun, jika pengalaman tersebut membantu anda mendapatkan pekerjaan baru dan anda tetap berlaku jujur mengenai keupayaan sebenar, tiada masalah untuk menyebutnya. Yang penting ialah anda tidak menipu tentang tanggungjawab atau keupayaan yang anda ada. Letakkan niat untuk memulakan pekerjaan baru dengan cara yang lebih telus dan jujur. Rezeki yang diperoleh dengan niat yang baik akan diberkati oleh Allah.
Sekian, terima kasih
Soalan
Assalamualaikum w.b.t..
Saya adalah bekas pekerja salah sebuah bank konvensional, dan bekerja sebagai “debt collector“ pengutip hutang bagi pelanggan yang mempunyai tunggakan bayaran bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik sejak tahun 2014.
Namun bermula pada zaman PKP pada tahun 2020, selain sebagai “debt collector” pengutip hutang, saya juga diminta terlibat secara langsung dalam skop kerja “restructuring accounts” penstrukturan semula akaun pinjaman perumahan, dengan menyediakan kontrak perjanjian bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik jika terdapat pelanggan yang mempunyai masalah kewangan untuk membuat bayaran tunggakan tersebut, sebelum saya tersedar dari kesilapan besar ini dan akhirnya telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun lepas.
Jumlah keseluruhan akaun pinjaman konvensional dan akaun pinjaman Islamik yang terlibat dalam “debt collections” kutipan hutang di bawah pemantauan “bucket team” saya adalah lebih kurang sama sahaja di antara kedua-dua pinjaman tersebut.
Selain saya menerima gaji bulanan, saya juga menerima bayaran “incentive” bonus pada setiap bulan sekiranya berjaya mencapai KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan bank dan “incentive” bonus ini pula akan dibayar untuk setiap akaun pinjaman yang telah berjaya dibuat “restructuring” penstrukturan semula berdasarkan kepada “outstanding balance” akaun pinjaman tersebut. “Incentive” bonus ini akan dibayar lebih tinggi bagi akaun pinjaman yang mempunyai “outstanding balance“ yang besar dan sebaliknya bagi akaun pinjaman yang mempunyai “outstanding balance” yang lebih kecil.
Berdasarkan gambaran situasi di atas, saya mempunyai beberapa kemusykilan seperti di bawah :
1) Adakah status gaji bulanan dan “incentive” bonus yang diterima itu adalah wang haram/ syubhah kerana keterlibatan dalam skop kerja “debt collections” pengutipan hutang bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik?
2) Jika gaji bulanan dan “incentive” bonus itu adalah wang haram/ syubhah, bagaimanakah cara pengiraan yang betul untuk saya serahkan kepada pihak Baitulmal? Ini kerana, sehingga saat ini wang terimaan tersebut masih berbaki lebih kurang RM45,000.00 di dalam akaun simpanan Islamik yang telah diasingkan.
Adakah wang tersebut perlu diserahkan kesemuanya, iaitu sebanyak RM45,000.00 kepada pihak Baitulmal dan jika tidak, bagaimanakah pula cara pengiraannya?
3) Adakah saya wajib menggantikan semula bayaran gaji bulanan dan “incentive” bonus yang telah dibelanjakan dengan jumlah lebih kurang RM400,000.00 sepanjang tempoh pekerjaan saya hampir 10 tahun di bank berkenaan? Ini kerana, sehingga pada hari ini saya masih tidak bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya kepada wang pencen penakat arwah suami saya lebih kurang RM800.00 sebulan.
4) Apakah status wang caruman KWSP hasil dari pekerjaan saya sebelum ini sebagai “debt collector” pengutip hutang bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik sedangkan wang caruman KWSP saya adalah berasaskan simpanan Shariah berkuatkuasa pada tarikh 01/01/2019?
5) Jika wang caruman KWSP tersebut adalah wang haram/ syubhah, bagaimanakah cara pengiraan yang betul untuk saya serahkan kepada pihak Baitulmal sebaik sahaja saya dibenarkan untuk membuat pengeluaran sepenuhnya ketika mencapai umur 55 tahun kelak?
Adakah saya perlu serahkan kesemua wang caruman KWSP, iaitu berjumlah setakat hari ini adalah RM153,000.00 memandangkan keterlibatan pekerjaan saya dalam “debt collections” pengutipan hutang bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik?
6) Apakah pula status wang yang diterima dari hasil jualan rumah, iaitu sebanyak RM108,000.00 yang sebelum ini rumah berkenaan dibeli menggunakan wang caruman akaun 2 KWSP dan “incentive” bonus dari pekerjaan saya sebagai “debt collector” pengutip hutang bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik (hampir 10 tahun dari tahun 2014 sehingga 2023) dan sebelum itu, saya juga pernah bekerja di sebuah restoren nasi ayam (hampir 4 tahun dari tahun 2010 sehingga 2013), di mana terdapatnya percampuran wang caruman KWSP hasil dari 2 pekerjaan tersebut di dalam akaun simpanan Shariah KWSP saya?
Untuk makluman pihak tuan/ puan, jumlah pengeluaran akaun 2 KWSP yang dibuat pada tahun 2016 adalah sebanyak RM21,100.00 sebagai bayaran deposit (bagi tujuan pembelian rumah berkenaan) dan jumlah keseluruhan wang caruman KWSP setakat tahun 2013 adalah sebanyak RM25,000.00, yakni wang halal hasil dari bekerja di sebuah restoren nasi ayam terdahulu sebelum saya terlibat dalam dunia perbankan konvensional bermula pada tahun 2014. Sementara pinjaman perumahan yang dibuat pula adalah berasaskan pembiayaan Islamik, iaitu “Commodity Murabahah Home / Shophouse Financing-i” dari Maybank Islamic. Namun begitu, “legal fee” bayaran guaman sebanyak RM7,000.00, dan bayaran bulanan pinjaman perumahan serta “advance payment” yang telah dibuat sebanyak RM129,000.00 adalah menggunakan wang gaji dan “incentive” bonus yang diterima pada setiap bulan dari bank konvensional berkenaan.
7) Jika wang dari hasil jualan rumah tersebut adalah wang haram/ syubhah, bagaimanakah cara pengiraan yang betul untuk saya serahkan kepada pihak Baitulmal?
Adakah saya dibenarkan untuk mengambil wang modal dari bayaran deposit rumah tersebut, iaitu sebanyak RM21,100.00 memandangkan ia adalah wang halal hasil dari bekerja di sebuah restoren nasi ayam sehingga tahun 2013 sebelum terlibat dalam dunia perbankan konvensional bermula pada tahun 2014, meskipun pengeluaran kali pertama wang caruman KWSP tersebut dibuat pada tahun 2016 bagi tujuan pembelian rumah berkenaan?
8) Apakah pula status wang yang diterima dari hasil kutipan sewa rumah berkenaan sebelum berjaya dijual baru-baru ni?
9) Adakah saya wajib menggantikan semula wang kutipan sewa yang telah dibelanjakan dengan jumlah lebih kurang RM72,000.00, sepanjang tempoh 6 tahun sewaan? Ini kerana, sehingga pada hari ini saya masih tidak bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya kepada wang pencen penakat arwah suami saya lebih kurang RM800.00 sebulan?
Jawapan
1. Pendapatan hasil daripada harta yang tidak patuh syariah adalah harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah SWT. Syarak telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, memutuskan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, dengan memetik sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas. (Riwayat al-Bukhari)
Sememangnya sebagaimana diketahui, bekerja dalam industri perbankan yang menawarkan konvensional adalah haram di sisi Islam kerana terkandung di dalamnya pengamalan riba. Dari segi keterangan umum yang diberikan kerja puan sememangnya ada berkait rapat dengan perbankan konvensional sama ada sebagai debt collector atau restructuring accounts. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Berdasarkan hujah dan dalil di atas, status gaji dan incentive yang diterima sekiranya berkait dengan konvensional adalah haram, manakala percampuran yang berlaku dalam hasil gaji yang diterima menyebabkan menjadi syubhah.
2. Perkiraan berkaitan ini adalah lebih baik, puan berhubung langsung dengan pihak BaitulMal bagi memastikan kes ini diuruskan dengan baik dan cermat.
3. Sekiranya wang dari pekerjaan tersebut masih berbaki, maka ia perlu diserahkan kepada pihak BaitulMal dan sekiranya tiada, maka bertaubat kepada Allah SWT dan moga Allah SWT mengampuni kesilapan yang dilakukan.
4. 5,6, dan 7. Wang caruman KWSP sebelum 2019, jika sumber pekerjaan bercampur (konvensional dan Islamik), ia dianggap syubhah, manakala caruman selepas 2019 atau selepas tarikh kuatkuasa KWSP Islamik, jika caruman diteruskan dari pekerjaan tersebut, status syubhah masih terpakai kerana sumbernya bercampur. Cara pengiraan adalah dengan mengira sejauh mana sumbangan dari sudut konvensional dan Islamik sekadar yang mampu dilakukan dengan mengambil purata. Selepas itu serahkan bahagian yang tidak patuh syariah kepada BaitulMal.
8. Pendapatan hasil sewaan adalah halal dan tiada berkaitan dengan pendapatan kerana punca kewangan pembelian rumah itu adalah daripada KWSP.
9. Tidak perlu menggantikan sewaan rumah tersebut,
Kesimpulannya, semoga puan bertaubat kepada Allah SWT semoga diampunkan atas kesilapan yang telah dilakukan berkemungkinan faktor kekurangan ilmu dan sebagainya. Sekiranya tida pendapatan lain untuk bergantung hidup atau hanya mengharapkan duit pencen suami, maka baki daripada pendapatan yang tidak patuh syariah boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan tanpa bermewah dan berlebih-lebihan dan segala baki yang ada tidak perlu dipulangkan mengambilkira situasi dan keadaan yang sedang dilalui.
Sekian, terima kasih
Soalan
Assalammua’laikum ustaz, saya ingin bertanya, sebelum ini kawan saya pernah hutang dgn saya kemudian dia bayar hutang semula dgn secara QR code bank in dalam akaun saya..persoalan saya bimbang jika duit yg dia bagi itu syubhah ataupun yg haram, namun bila saya dapat gaji campur lah juga dgn duit yg dia sudah bank in dalam akaun saya..dia bayar hutang Rm 1.70 sen sahaja.
1.Maka bila saya dapat gaji saya tidak guna duit lagi sepenuhnya masih ada baki lagi dalam bank saya itu..saya bimbang jika duit yg saya gunakan itu sudah bercampur, namun baki duit masih ada lagi dalam bank..jika saya derma Rm 1.70 di tabung masjid atau seumpamanya apakah dibolehkan kerana saya dapat membezakannya? Namun jika saya sudah derma..
2. barang2 sebelum ini yg saya beli guna duit gaji saya itu menjadi halal? Walaupun sebelum ini ada yg bercampur dgn duit kawan saya itu dalam bank? Mohon penjelasan dari pihak mufti terima kasih.
Jawapan
Memberi hutang kepada orang lain hukumnya adalah sunat dan sangat digalakkan dalam Islam. Ia merupakan satu amalan mulia yang menggambarkan keprihatinan dan kasih sayang terhadap kesusahan orang lain. Orang yang memberi hutang bukan sahaja membantu meringankan beban hidup seseorang, bahkan dijanjikan ganjaran istimewa di sisi Allah SWT. Jika niatnya ikhlas untuk menolong, maka ia termasuk dalam amal kebajikan yang sangat besar pahalanya.
Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al-Bukhari)
Dalam Islam, yang halal dan haram itu jelas. Jika wang yang dibayar oleh kawan anda itu benar-benar dari sumber haram, dosanya tertanggung atas dia bukan anda kerana anda menerima sebagai bayaran hutang, bayaran tersebut adalah hak anda yang sah.
Wang itu tidak menjejaskan duit gaji anda yang lain dalam akaun, apatah lagi jumlahnya sangat kecil (RM1.70) dan telah bercampur. Barang-barang yang dibeli juga tetap halal, kerana majoriti sumber wang adalah halal.
Jika anda masih bimbang, anda boleh dermakan nilai tersebut ke tabung masjid atau salurkan ke Baitulmal sebagai langkah membersihkan hati.
Sekian, terima kasih
Soalan
Assalamualaikum,saya ingin bertanya,jika seseorang pernah dapat duit atau hasil dari buat benda yang haram tetapi bukan dari hak org lain seperti mencuri dan sebagainya.Jadi duit tersebut telah bercampur dengan duit yang halal dalam satu akaun yang sama.Yang halal telah lupa jumlahnya.Jadi dari duit dalam akaun tersebut yang bercampur telah digunakan utk membeli topup internet dan digunakan juga untuk membeli barang yang lain.Selepas itu,dia telah berhenti dari buat benda yang haram dan dari duit tersebut dia telah gunakan untuk beli topup dan menggunakan internet tersebut untuk kerja melalui online.Setiap bulan dia menerima gaji.Adakah gaji yang diterimanya setiap bulan menjadi haram dan tidak boleh ia gunakan??sebab dah kelanjuran guna dari duit gaji tersebut.
ii)Bagaimana cara untuk ia bersihkan semua dari yang telah ia gunakan jika ianya menjadi haram?Adakah perlu diganti semula?
iii)Bagaimana jika seseorang ada percampuran duit was-was atau haram dengan yang halal dalam satu akaun bank.Sebagai contoh,duit was-was itu bernilai RM550 selepas itu ada orang memberikannya RM150 ialah duit yang halal.Jadi duit tersebut berada dalam satu akaun yang sama.Duit was-was RM550 itu belum lagi ia keluarkan..selepas itu dia ada menggunakan RM50 dari duit dalam akaun tersebut.dia menganggap yang digunakannya itu adalah dari RM150 yang halal.RM50 itu dijadikan sebagai topup internet.Dia melakukan pekerjaannya menggunakan internet dari hasil duit tersebut.Bulan itu dia menerima gaji.Adakah gaji yang diterimanya halal dan boleh ia gunakan?kerana risau akn jadi syubhah kerana yang was-was RM550 itu belum lagi ia keluarkan.
iv)Bolehkah duit yang haram dan was-was diberikan kepada tahfiz,masjid atau surau untuk tujuan pembinaan atau penambahbaikpulih tandas?Semasa mengeluarkan duit tersebut adakah perlu niat seperti "aku lepaskan duit tersebut" atau boleh dilepaskan begitu sahaja?
v)Bolehkah duit yang haram atau was-was yang cash digantikan dengan duit yang lain sebagai contoh ditukarkan yang dalam akaun untuk tujuan membersihkan duit tersebut dan bersihkan dgn cara transfer?selepas itu bolehkah ia menggunakan duit yang cash tersebut jika duit tersebut telah diganti?
Sekian,terima kasih.
Jawapan
Dalam Islam sememangnya umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.
Pada asalnya harta yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh syarak, seperti daripada transaksi riba, perniagaan judi dan arak adalah haram digunakan. Jika hasil pendapatan tersebut semata-mata daripada sumber rezeki yang haram, maka jadilah harta tersebut haram, manakala jika ia bercampur antara sumber rezeki halal dan haram, maka jadilah harta itu harta syubhah.
1. Perbuatan puan menggunakan duit syubhah itu pada urusan kerja tidak menjadikan hasil gaji menjadi haram. Namun dikhuatiri ia boleh menghilangkan keberkatan pekerjaan serta pendapatan yang diperolehi daripada sumber yang tidak halal.
2. Wang haram atau syubhah sebagaimana yang dinyatakan, yang tidak melibatkan hak orang lain, penggunaannya adalah diharamkan. Sekiranya puan mengetahui akan keharaman wang tersebut daripada awal, dan puan belanjakannya untuk manfaat sendiri, maka puan perlu menggantikannya, jika puan mampu berbuat demikian. Manakala baki daripada wang tersebut yang masih ada wajib dibersihkan dengan menyerahkannya kepada Baitulmal.
3. Apabila Puan mengetahui secara tepat nilai duit haram, perlulah diasingkan terlebih dahulu daripada mana mana bank yang mempunyai duit halal untuk diserahkan kepada pihak Baitulmal atau dikembalikan kepada pemiliknya. Kerana percampuran duit halal dan haram di dalam satu akaun telah menjadi duit syubhah. Serta duit syubhah tidak boleh digunakan untuk kepentingan sendiri. Adapun, gaji yang diperoleh tersebut tidak haram.
4. Sebaiknya wang haram atau tidak patuh syariah hendaklah diserahkan kepada Baitulmal untuk diuruskan bagi penggunaan awam seperti pembangunan masjid, pembinaan surau, membaiki jalan awam dan sebagainya.
Pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 4hb Ogos 2009 menyatakan bahawa: Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak memenuhi Syariah seperti riba, gharar, perjudian, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiyai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya.
Diserahkan kepada golongan fakir miskin, atau
Jika harta tersebut harta rompakan, curi dan seumpama dengannya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.
5. Boleh untuk menggantikan duit cash tersebut kepada duit dalam akaun bank berdasarkan nilainya. Kemudian duit cash tersebut dikira duit halal yang boleh digunakan.
Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum, Dato’ Mufti. Saya student universiti dan menjalankan aktiviti sapu memggunakan group chat di universiti saya. Saya ingin mendapatkan pencerahan mengenai hukum pendapatan yang diperoleh daripada kerja sapu secara underground (mengambil penumpang secara tidak rasmi tanpa lesen e-hailing).
1. Status Hukum Pendapatan
Adakah pendapatan ini dikira haram, syubhah, atau harus jika perkhidmatan ini dijalankan tanpa lesen tetapi pelanggan membayar secara rela hati?
Adakah fakta bahawa saya menawarkan caj lebih murah berbanding perkhidmatan rasmi mempengaruhi hukum pendapatan ini?
2. Jika Duit Sudah Digunakan
Jika saya sudah menggunakan sebahagian duit hasil kerja ini, apa yang perlu saya lakukan untuk membersihkannya?
Adakah saya perlu menggantikan jumlah yang telah digunakan dengan sedekah atau cukup dengan taubat?
3. Jika Duit Haram Bercampur dengan Duit Halal
Jika sebahagian besar duit saya bercampur antara halal dan haram, bagaimana cara terbaik untuk saya mengasingkannya?
Jika saya tidak pasti jumlah yang haram, adakah cukup sekadar mengeluarkan anggaran tertentu untuk kebajikan?
4. Tanggungjawab dan Kesan kepada Masyarakat
Adakah saya dianggap menzalimi pemandu e-hailing rasmi yang membayar komisen kepada syarikat?
Bagaimana saya boleh memastikan sumber rezeki saya lebih diberkati dan selari dengan syariat Islam?
Saya amat menghargai pandangan dan nasihat daripada pihak mufti. Terima kasih.
Jawapan
Mentaati pemerintah merupakan salah satu perkara yang dituntut oleh syarak. Banyak nas baik dari Al-Quran mahupun Al-Sunnah yang jelas menunjukkan kepada perkara ini. Antaranya adalah firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya : Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.
Ini juga bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a, Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut). (Riwayat Al-Bukhari)
Berkaitan peraturan membawa penumpang atau e-hailing dan bahasa pasarnya ‘prebet sapu’ adalah jelas kerana profesion ini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pasca Covid-19. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan peraturan-peraturan tertentu bagi memastikan kerjaya ini selamat dan terjamin dari sudut keselamatan pemandu serta penumpang, kadar sewaan dan pengurusan yang berkaitan. Justeru, dengan mengambil saranan ayat al-Quran dan Hadis di atas, ketaatan kepada pemerintah adalah wajib selagi mana ia tidak menjurus kepada kemaksiatan.
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al- Bukhari)
Sekian, terima kasih
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Saya mohon jasa baik pihak tuan/puan untuk memberikan pandangan syariah berkenaan situasi pekerjaan saya dalam industri fintech.
Saya kini bekerja sebagai seorang Deployment Specialist di sebuah syarikat teknologi kewangan di Malaysia iaitu Revenue Monster Sdn Bhd. Tugas saya adalah untuk menyokong pemasangan dan penyelenggaraan terminal pembayaran (payment terminal) yang digunakan oleh pelbagai jenis perniagaan.
Antara klien syarikat ini termasuk:
Kedai makanan tidak halal
Syarikat yang menjual arak seperti “Beer Bank”
Pelbagai perniagaan halal seperti restoran, kedai runcit, dan lain-lain
Soalan saya ialah:
Apakah hukum saya bekerja dalam syarikat ini dari sudut syariah, memandangkan sebahagian klien adalah dari sektor tidak halal?
Adakah kerja saya dianggap membantu dalam dosa (ta’āwun ‘ala al-ithm) sekiranya saya memberi sokongan teknikal kepada terminal yang digunakan oleh klien tidak halal?
Apakah status pendapatan saya – halal, syubhah atau haram?
Apakah nasihat syariah dalam situasi ini jika saya masih belum mempunyai pekerjaan alternatif?
Saya mohon panduan berdasarkan hukum syarak dan pertimbangan fiqh muamalat. Segala pandangan daripada pihak tuan/puan amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
[Nama Penuh Anda]
Deployment Specialist
Revenue Monster Sdn Bhd
[Emel Anda]
[No. Telefon – jika ingin disertakan]
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umum Islam melarang umatnya terlibat dengan menolong atau membantu orang lain dalam perkara maksiat atau perkara yang diharamkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Namun, pertolongan yang diberikan boleh dikategorikan kepada pertolongan secara langsung dan pertolongan yang diberikan secara tidak langsung. Dalam kes yang disebutkan, kerja anda adalah untuk menyokong pemasangan dan penyelenggaraan terminal pembayaran (payment terminal) yang digunakan oleh pelbagai jenis perniagaan ia bukanlah kerja yang secara langsung melibatkan jual beli arak atau makanan haram itu sendiri.
Oleh itu, kerja yang anda lakukan adalah halal kerana anda tidak terlibat secara langsung dengan urusniaga haram yang dijalankan oleh syarikat tersebut. Namun terdapat sedikit syubhah di dalam urusniaga yang dijalankan perkhidmatan yang diberikan secara tidak langsung membantu serta menyokong perkembangan industri yang tidak patuh syariah.
Dalam hal ini, kita disarankan oleh Nabi SAW supaya menjauhi perkara yang syubhah, agar diri dan rezeki kita terpelihara, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhah, sesungguhnya dia telah membersihkan agama dan maruah dirinya.
Justeru itu, walaupun pekerjaan anda sekarang masih dikira harus, amat digalakkan untuk berusaha mencari pekerjaan yang lebih jelas dan bersih sumbernya, agar rezeki lebih berkat, hati lebih tenang, dan ibadah pun terasa lebih ikhlas dan ringan.
Semoga Allah SWT membuka jalan rezeki yang lebih luas dan bersih buat anda, serta memberkati setiap usaha dan langkah yang anda ambil. Amin.
Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum. Apakah hukum membeli memecoin yang tiada unsur haram seperti riba? Adakah ianya dibolehkan atau jatuh kategori syubhah kerana ramai yang mengatakan ianya syubhah hanya kerana memecoin tidak mempunyai "use case". Bukankah membeli barang dengan menggunakan memecoin itu boleh diambil kira sebagai "use case"? Adakah terdapat ayat di dalam Al-Quran ataupon hadis yang mengatakan sesebuah aset perlu ada "use case"? Sekian, terima kasih.
Jawapan
Secara asasnya, melabur atau membeli meme koin (memecoin) yang diyakini transaksinya tidak mempunyai riba, judi (maysir) dan ketidakpastian (gharar) adalah harus. Walau bagaimanapun, memecoin dikatakan mempunyai risiko yang menyalahi prinsip Syariah berikutan ia adalah suatu transaksi yang tidak mempunyai kegunaan yang jelas dan hanya bergantung kepada spekulasi semata-mata.
Secara umumnya, memecoin merupakan coin atau token yang popular dalam internet dan mengikut trend semasa. Ia banyak dikeluarkan dalam bentuk animasi, dipromosikan oleh para pedagang dan peminat meme tersebut. Ia merupakan suatu aset yang unik dan menyeronokkan serta dapat menarik minat pelabur untuk memilikinya. Adapun begitu, kegunaannya yang tidak jelas menjadikan transaksi yang dilakukan bertentangan dengan prinsip asas jual beli. Syarat sah bagi sesuatu barang yang di jual (mabi’) menurut mazhab Syafi’i adalah:
Hendaklah ia suci
Boleh diambil manfaat daripadanya
Diketahui sifat dan keadaannya
Mampu untuk diserahkan
Dimiliki oleh orang yang akad itu dibuat untuknya
Oleh itu, disebabkan memecoin tidak mempunyai kegunaan dan manfaat yang jelas serta mempunyai risiko kerugian sebelah pihak berikutan keuntungannya bergantung kepada spekulasi semata-mata, maka adalah sebaiknya tidak terlibat dengan transaksi ini atau transaksi yang dikhuatiri syubhah bagi mengelak terlibat dengan transaksi yang tidak patuh Syariah. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 15:
Maksudnya: Pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
Secara umumnya, syarat-syarat yang ditetapkan oleh mazhab Syafi‘i dalam urusan jual beli bertujuan memastikan transaksi berlangsung secara adil, jelas dan bebas daripada unsur penipuan. Dengan mematuhi garis panduan ini, setiap akad jual beli yang dijalankan akan mencapai maksudnya menurut syarak, serta memperoleh keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
Soalan
Salam ustaz,
Saya ada pertanyaan. Saya telah berkahwin dgn suami pada 2015, sewaktu saya mengandungkan anak pertama pada 2016, suami telah sebut dengan jelas perkataan 'aku ceraikan kau'. kemudian saya telah mengadukan perkara ini kepada kadi yang menikahkan kami dan dihadapan kadi, kami telah ruju semula. setelah melahirkan, suami ada menceraikan saya dengan lafaz yang sama sewaktu bertengkar. apabila saya mengadukan kepada kakak ipar dan kakak ipar saya bertanya kepadanya, dia tidak mengaku. suami sering bertindak begitu, menceraikan saya, kemudian menafikan lafaz cerai itu. sewaktu lafaz penceraian, saya tidak ada saksi, hanya saya. Penafian suami membuat saya keliru dengan apa yang saya dengar kerana saya dalam keadaan emosi. Berpegang kepada pengakuan suami yang menyatakan dia tidak ada melafazkan cerai, sy meneruskan perkahwinan dengannya. Pada tahun 2020, saya mengandung anak kedua dan anak itu perempuan. setelah melahirkan, suami telah bertindak curang dan meninggalkan saya. Dia telah menyatakan kepada teman wanitanya bahawa dia dengan saya telah lama bercerai . Dia mengaku dengan wanita tersebut yang dia telah melafazkan cerai berkali-kali dan anak perempuan saya dia melabelkan dengan perkataan 'anak syubhah' kerana tidak diketahui status nasab nya. Perkara ini tidak diketahui saya pada mulanya dan setelah saya mengetahui, saya telah membawa isu ini ke mahkamah syariah. Dihadapan mahkamah, suami sekali lagi menafikan lafaz cerai nya terhadap saya. Mahkamah mengambil kira penafiannya dan memutuskan kami masih suami isteri pada ketika itu. Setelah keluar dari mahkamah, dia mengaku di hadapan saya bahawa dia menafikan kerana tak mahu melepaskan saya dari perkahwinan ini. Kami tidak lagi serumah kerana saya takut berada dalam pernikahan yang tidak lagi sah.
Soalan saya, sewaktu saya ingin menikahkan anak perempuan saya, bolehkah saya menggunakan wali hakim? saya takut pernikahan saya dan suami telah lama terbatal oleh lafaz-lafaz cerai suami yang tidak diketahui saya. Saya takut jika saya menggunakan bapa nya sebagai wali, atau andai bapa meninggal, anak pertama saya sebagai wali, pernikahan anak perempuan saya mungkin tidak sah dan ini melibatkan soal keturunan dan nasab.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Sekiranya suami menafikan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah bahawa dia tidak menceraikan isterinya dan puan sebagai isteri pula tidak dapat mendatangkan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut dan hakim juga ada memerintahkan suami untuk bersumpah syari'e menafikan berlakunya lafaz talak. Bilamana hakim memutuskan talak tidak berlaku, maka pasangan hendaklah patuh dengan keputusan tersebut dan pasangan kekal sebagai suami isteri.
2. Sekiranya isteri tidak berpuas hati dengan keputusan hakim tersebut, isteri ada hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi bagi menyemak semula keputusan hakim tersebut.
3. Sekiranya isteri tidak mahu membuat rayuan atau selainnya, maka isteri boleh membuat tuntutan fasakh atau taklik sekiranya dapat dibukti sebarang pengabaian atau kecurangan pihak suami.
4. Berkaitan perwalian nikah bagi anak perempuan puan, suami puan berhak untuk menjadi wali kepada anak tersebut selagi mana tiada pengesahan atau pensabitan yang membuktikan anak tersebut adalah tidak sah taraf atau suami puan hilang kelayakan bapa sebagai wali.
Terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Situasinya begini:
Bolehkah seorang lelaki yang bekerja di bank konvensional menghalalkan hubungan (bernikah) dengan wanita yang dicintainya? Lelaki tersebut bekerja sebagai sales executive di sebuah bank dimana dia ditugaskan untuk mempromosi produk Islamik dan komvensional. Kebanyakan pinjaman yang dipromosikan adalah produk Islamic, kecuali jika pelanggan sendiri dengan jelas memilih produk konvensional.
Yang menjadi persoalan:
❓Adakah lelaki tersebut boleh berkahwin dengan wanita yang dicintainya walaupun masih bekerja di bank konvensional, di mana gajinya dianggap syubhah?
❓Lelaki itu sentiasa berusaha dan berniat untuk berpindah ke institusi perbankan Islam, namun disebabkan keadaan ekonomi semasa dan komitmen kewangan yang tinggi, dia terpaksa meneruskan pekerjaan sekarang buat sementara waktu.
Saya memohon pandangan Ustaz untuk menyentuh dua perkara dari sudut hukum syarak:
1. Apakah hukumnya seorang lelaki memberikan nafkah kepada isteri daripada pendapatan bank konvensional (yang syubhah), sedangkan dia dalam usaha dan azam berterusan untuk mencari pekerjaan di bank Islam?
2. Adakah lebih baik lelaki tersebut menangguhkan perkahwinan sehingga memperoleh pekerjaan di bank Islam, atau boleh sahaja meneruskan perkahwinan dalam keadaan sekarang (dengan niat dan usaha hijrah pekerjaan sedang dijalankan)?
Saya amat berharap agar Ustaz dapat memberikan pencerahan atas persoalan ini. Terima kasih atas kesudian membaca mesej ini. Semoga Allah merahmati dan memberkati ustaz
Jawapan
Bekerja di sektor yang bercampur-campur antara halal dan haram adalah wajib dielakkan bahkan seorang muslim wajib memilih yang halal tanpa melihat kepada status individu sama ada masih masih bujang atau telah berkahwin. Sekiranya seseorang itu sudah berkahwin maka tanggungjawabnya adalah lebih berat kerana nafkah yang masuk ke dalam perut keluarga perlulah bersih dari unsur-unsur syubhah mahupun haram.
2. Tidak perlu menangguhkan perkahwinan atas sebab yang boleh diselesaikan dengan baik serta hikmah. Percayalah rezeki yang akan Allah SWT berikan atas usahanya untuk menjadi baik dan seterusnya berjaya mendirikan mahligai perkahwinan dalam keadaan yang diredhai oleh Allah SWT.
Sebagaimana Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya” (Riwayat al-Tirmizi)
Semoga Allah SWT memberikan jalan dan kemudahan bagi keluar dari belenggu masalah kewangan yang memberi kesan tidak baik kepada nafkah bakal suami dan seterusnya mampu mendirikan mahligai perkahwinan atas dasar agama serta redha Allah SWT.
Sekian, terima kasih
Soalan
Assalammua’laikum ustaz, saya nk tanya, jika sebelum ni pernah terbagi duit haram atau syubhah masuk dalam akaun ibu saya maka telah bercampur duit bank dia tu halal dan haram dalam satu akaun dia, kemudian saya pinjam duit cash dia untuk nak cari kerja, jadi saya pun telah berhutang dengan dia..
Tujuan saya pinjam duit dia untuk saya beli topup internet, buat resume, dan sebagainya untuk permulaan untuk urusan kerja di tempat baru..
1. kalau saya sudah dapat kerja baru apakah gaji saya itu masih halal? Kalau gaji saya itu jika halal tapi tak berkat apakah masih halal beli barang seperti beli al quran, sejadah, telekung dan sebagainya? Masih dapat pahala ibadah ke?
2. bagaimana saya hendak membersihkannya jika permulaan kerja dari hasil yg tidak betul? Sedangkan wang yg saya pernah beri pada ibu saya itu kemungkinan haram/syubhah yg asalnya milik syarikat sebelum ni atas kecuaian saya mencuri tulang, tipu sakit dapat MC kemudian telah bercampur duit dalam akaun ibu saya dan saya pinjam duit dia secara “cash” yg dia keluarkan duit dari bank dia mungkin campur halal dan haram kemudian beri pada saya, andai kata saya pinjam duit dia Rm400 dan saya telah bekerja di tempat kerja baru boleh ke gaji saya tu bayar hutang balik pada dia? Tapi saya bimbang tentang gaji saya itu sebab permulaan kerja dari hasil duit ibu saya itu..
3. Sebagai langkah pembersihan gaji walaupun duit dekat dalam akaun ibu saya itu bercampur halal dan haram yg hasil saya beri duit kpd dia kecuaian saya bekerja menipu sakit dan mengular dulu, tapi saya pinjam duit dia skrg contoh Rm400 untuk permulaan saya kerja, lepas gaji tempat kerja baru saya ni beri dia balik Rm400 dan Rm400 beri pada baitumal untuk gaji saya skrg ni supaya jadi berkat? Sbb atas permulaan guna duit ibu saya yg campur halal dan haram ketika saya kerja atas kecuaian saya dulu, Bolehkah ustaz?
Maaf ustaz soalan panjang, Saya harap ustaz dapat membantu saya tentang masalah ini, terima kasih.
Jawapan
Secara umumnya, hasil gaji yang diperolehi daripada pekerjaan yang halal adalah tetap halal selagi mana pekerjaan itu menepati syarak serta tidak melibatkan pekerjaan haram serta dilaksanakan dengan amanah. Walaupun modal permulaan yang digunakan untuk mencari kerja seperti topup internet, cetakan resume dan sebagainya datang daripada wang pinjaman yang bercampur halal dan haram, hal ini tidak memberi kesan kepada halal atau haram gaji yang diperoleh.
Maka, selagi pekerjaan itu halal dan dilakukan dengan jujur, gaji yang diperoleh adalah halal. Begitu juga jika ia digunakan untuk membeli mushaf al-Quran, sejadah, telekung dan lain-lain peralatan ibadah, ibadah tersebut tetap sah dan insyaAllah mendapat pahala.
Manakala bagi wang yang dipinjam daripada ibu walaupun asalnya bercampur halal dan haram tetap dikira sebagai hutang yang wajib dibayar semula. Dosa atas kecuaian yang anda lakukan tidak menjadikan duit tersebut syubhah kerana ibu menerima duit tersebut sebagai hadiah daripada anda sebagai anak, duit tersebut halal untuk ibu dan transaksi antara anda dan ibu adalah sebagai pinjaman atau hutang dan ia wajib dilunaskan.
Hal ini berdasarkan hadis sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Roh seorang mukmin itu tergantung (tidak bebas) disebabkan hutangnya sehingga hutang itu dilunaskan baginya. (Riwayat al-Tirmizi)
Oleh itu, saudara harus menggunakan gaji yang diterima daripada pekerjaan baharu untuk melunaskan hutang RM400 tersebut kepada ibu. Tidak ada masalah dari sudut syarak kerana yang dilihat adalah akad hutang yang tiada kena mengena dengan sumber duit yang bercampur antara yang halal dan haram.
Jika tuan merasakan pernah mengambil harta yang haram, maka pelaku tersebut hendaklah membuat pembersihan hartanya melalui hasil pendapatannya dengan menyalurkan wang tidak patuh syariah itu kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam
Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t tuan, saya telah membuat perancangan untuk melabur di dalam projek infrastruktur digital berpotensi tinggi yang mana modal pasarannya berada dalam pasaran digital kripto (atau lebih dikenali sebagai altcoin - alternative to Bitcoin). Setelah mengkaji dan meneliti projek ini secara mendalam, saya mendapati projek tersebut adalah sahih, mempunyai penjelasan jelas dan kertas putih projek (project transparency and whitepaper), tidak memiliki unsur meme coin (yang kebiasannya bertujuan untuk menjalankan aktiviti pump and dump, rugpulling atau buy-hype semata-mata), serta tidak mempunyai sebarang unsur riba atau menjalankan/ terkait aktiviti haram dari pembangun (developer team). Saya juga telah mempunyai ilmu asas dan kefahaman jelas mengenai pelaburan dalam bidang kripto untuk mengelakkan unsur gharar dan maysir. Walau bagaimanapun, saya mempunyai sedikit keraguan berkenaan keperluan menggunakan platform tukaran matawang kripto (crypto exchange) yang dibenarkan dan dipantau oleh Security Commission (SC) serta patuh syariah. Ini kerana urusan pembelian jual beli altcoin ini hanya tersedia di platform luar negara yang mana tidak menyediakan perkhidmatan serta kelulusan khusus di Malaysia. Justeru, adakah menjadi kewajipan untuk menggunakan platform yang telah diberi kelulusan di Malaysia? Adakah pelaburan ini secara automatik jatuh kepada haram sekiranya saya tidak menggunakan plaftorm yang telah disahkan patuh syariah walaupun semua elemen lain tidak mengandungi unsur-unsur haram?
Saya dalam masa yang sama juga telah membuat carian lanjut berkenaan hukum pelaburan yang khusus dalam altcoin tetapi tidak menemui sebarang fatwa, manakala pandangan dari ilmuan luar mempunyai pandangan berbeza dalam hal ini. Saya telah mendengar dan membaca mengenai ketetapan Islam bahawa apa jua perkara yang tidak dinyatakan secara jelas adalah harus sehinggalah terdapat perkara yang haram, tetapi saya merasakan penting untuk mendapatkan kepastian dari pihak yang arif dalam hukum hakam islam, selain carian dan penelitian sendiri, serta mengelakkan unsur syubhah. Saya ucapkan terima kasih atas sebarang penjelasan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara umunya pelaburan merupakan satu bentuk usaha ekonomi yang diharuskan syarak selama mana ia mematuhi prinsip-prinsip utama muamalat Islam, antaranya:
Tiada unsur riba (faedah), gharar (ketidaktentuan keterlaluan), dan maysir (judi/spekulasi melampau).
Transaksi berlaku secara taradhi (sukarela) dan bebas penipuan.
Objek pelaburan dan hasilnya adalah halal dan bersih daripada aktiviti haram.
Dalilnya jelas daripada al-Quran di dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
Prinsip umum juga ditunjukkan dalam kaedah fiqh:
Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu muamalat adalah harus selagi tiada dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.
Berkaitan dengan urusniaga matawang digital berikut dipanjangkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2021 yang bersidang pada 8 Muharram 1443H bersamaan 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:-
Harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:
a) Urus niaga melibatkan mata wang digital hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;
b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:
i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang digital;
ii. Perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang digital dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;
iii. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan
iv. Undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang digital.
c) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang digital hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.
Sebagai kesimpulan, adalah penting untuk memastikan pelaburan yang dilakukan adalah di atas platform yang disahkan oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), ia bagi memastikan pelaburan dilakukan secara sah di sisi undang-undang, terkawal dari segi keselamatan, dan diawasi pematuhan Syariahnya. Platform sah ini melindungi pelabur daripada risiko penipuan, manipulasi pasaran dan urus niaga haram, di samping menjamin akad pelaburan berjalan secara telus dan beretika menurut Islam. Jika pelaburan dibuat melalui platform luar yang tidak diluluskan, walaupun projeknya halal, ia tetap jatuh dalam kategori syubhah atau tidak sah kerana cara pelaksanaannya berisiko menyalahi prinsip muamalat dan membuka ruang kepada kerugian serta unsur haram yang tersembunyi.
Sekian, terima kasih banyak-banyak.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti,
Saya ingin memohon pandangan hukum berkaitan satu urusan kerja.
Saya bekerja dalam bidang IT, dan syarikat saya telah menerima projek untuk menyediakan perkhidmatan internet dan pemasangan peralatan rangkaian (modem/router) di premis syarikat yang terlibat dalam aktiviti nombor ramalan (judi).
Untuk projek ini, jurutera kami akan masuk ke premis mereka bagi tujuan setup dan uji sambungan internet sahaja. Kami tidak terlibat langsung dengan sistem pertaruhan, perisian, atau operasi perjudian mereka.
Tujuan kami hanyalah untuk menyediakan sambungan internet seperti mana-mana premis perniagaan lain.
Soalan saya:
Apakah hukum mengambil projek seperti ini, dengan syarat kerja hanya melibatkan setup internet dan tidak terlibat dalam sistem pertaruhan?
Adakah kehadiran jurutera kami ke premis tersebut untuk tujuan setup dikira sebagai membantu dalam perkara haram?
Apakah panduan atau langkah berhati-hati yang patut kami ambil untuk elak rezeki syubhah atau haram?
Terima kasih atas pandangan dan nasihat yang diberikan.
Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya Islam sangat menekankan prinsip menjauhi segala bentuk sokongan dan kerjasama terhadap perkara yang jelas diharamkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya
Judi termasuk dalam kategori dosa besar berdasarkan nas al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 90:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Dalam konteks projek yang dinyatakan, walaupun kerja teknikal hanya melibatkan pemasangan rangkaian internet dan tidak terlibat dalam sistem pertaruhan secara langsung, hakikatnya perkhidmatan itu tetap menjadi salah satu bentuk sokongan kepada kelangsungan operasi judi yang termasuk dalam unsur ta‘awun ‘ala al-ithm (membantu dalam dosa) yang ditegah syarak. Maka hukum asalnya ialah tidak harus.
Sekiranya seseorang itu hanya merupakan pekerja yang tidak ada kuasa membuat keputusan contohnya jurutera yang hanya menurut arahan syarikat, maka tanggungjawab menanggung dosa adalah lebih berat kepada pihak yang meluluskan dan menerima kontrak tersebut. Namun begitu, para pekerja muslim perlu:
Menyatakan pendirian tentang hukum asal bermuamalat dengan syarikat yang terlibat dalam perkara haram, sekadar kemampuan, tanpa menjejaskan kelangsungan pekerjaan bersama syarikat tersebut.
Memohon alternatif tugasan jika ada ruang, agar tidak terlibat secara langsung.
Banyak beristighfar dan berdoa agar Allah membuka jalan keluar dan rezeki yang lebih bersih.
Oleh itu adalah dinasihatkan agar sebuah syarikat milikan orang Islam agar memerhatikan perkara berikut:
Bezakan perkhidmatan umum dengan khusus. Jika perkhidmatan yang disediakan pada kapasiti umum misalnya rangkaian telekomunikasi untuk kawasan atau bangunan yang bercampur premis, ia lebih ringan dari sudut hukum berbanding jika kontrak terus ditandatangani dengan premis judi itu sendiri.
Cari alternatif rezeki yang bersih. Walaupun ada keuntungan dari segi dunia, keberkatan rezeki lebih utama. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya apabila Allah mengharamkan sesuatu, maka Dia mengharamkan harganya (hasil daripadanya). (Riwayat Abu Daud)
Elakkan perkara yang yang syubhah. Kehadiran jurutera untuk setup di premis perjudian boleh dianggap sebagai tanda kerjasama atau pengiktirafan terhadap operasi tersebut. Maka langkah paling selamat adalah tidak terlibat secara langsung.
Kesimpulannya, berdasarkan prinsip syarak, mengambil projek penyediaan perkhidmatan pemasangan rangkaian internet secara langsung untuk premis yang menjalankan aktiviti perjudian adalah tidak harus, kerana ia termasuk dalam bentuk bantuan terhadap perkara haram. Sebaiknya, syarikat mencari projek lain yang lebih bersih daripada unsur syubhah, demi memastikan rezeki yang diperoleh adalah halal lagi diberkati.
Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t. Tuan Mufti.
Saya ada beberapa soalan, saya pernah bekerja sebagai “debt collector” pengutip hutang / pinjaman di sebuah bank konvensional, tetapi turut menyediakan perkhidmatan perbankan Islam.
Portfolio :-
Portfolio kutipan hutang / pinjaman yang dipegang bagi pinjaman konvensional dan Islamik adalah lebih kurang sama.
Skop kerja :-
1) Membuat kutipan hutang / pinjaman bagi pelanggan yang mempunyai tunggakan bayaran bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan Islamik sejak tahun 2014.
2) Membuat “restructuring” akaun pinjaman bermula pada tahun 2020, dengan menyediakan “offer letter of restructuring accouns” surat tawaran / kontrak perjanjian bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan Islamik jika terdapat pelanggan yang mempunyai masalah kewangan dalam pembayaran tunggakan tersebut.
Selain dari menerima gaji bulanan, saya turut menerima bayaran “incentive” pada setiap bulan sekiranya berjaya mencapai KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan atasan dan “incentive” ini pula akan dibayar untuk setiap akaun pinjaman yang dibuat “restructuring” berdasarkan kepada “outstanding balance” akaun pinjaman berkenaan.
Saya telah bertaubat, dan telah “resign” dari pekerjaan bank itu. Saya kini berada dalam keadaan dilema dan tidak senang hati sejak menerima sejumlah wang dari hasil jualan rumah sebanyak RM108,000.00 yang sebelum ini dibeli menggunakan sumber dari pendapatan Halal (hasil dari pekerjaan terdahulu) dan dari pendapatan syubhah (hasil dari pekerjaan bank berkenaan). Wang dari hasil jualan rumah ini masih tidak terusik dan berada di dalam akaun simpanan Islamik saya.
Berikut adalah beberapa kemusykilan / soalan saya :-
1) Adakah status wang yang diterima dari hasil jualan rumah, iaitu sebanyak RM108,000.00 in dianggap sebagai wang syubhah memandangkan rumah tersebut diperolehi dari sumber pendapatan sepertimana di bawah, dan apakah pula hukum jika menggunakan wang tersebut?
Info :-
Pada tahun 2016, rumah kediaman ini dibeli pada harga RM330,000.00, dan ianya berasaskan kepada pembiayaan Islamik, iaitu “Commodity Murabahah Home / Shophouse Financing-i” dari Maybank Islamic Berhad.
Sumber kewangan :-
o RM23,100.00 (iaitu deposit 7% dari pengeluaran akaun 2 KWSP, dan saya beranggapan ia dari sumber pendapatan Halal – kerana jumlah keseluruhan wang simpanan KWSP adalah lebih kurang RM25,000.00 setakat tahun 2013, sebelum terlibat dalam dunia perbankan konvensional bermula pada tahun 2014)
o RM9,900.00 (iaitu deposit 3% dari sumber pendapatan syubhah – gaji dan “incentive” dari pekerjaan bank)
o RM7,000.00 (iaitu bayaran “legal fee” guaman dari sumber pendapatan syubhah – gaji dan “incentive” dari pekerjaan bank)
o RM129,000.00 (iaitu bayaran “instalment” bulanan dan “advance payment” dari sumber syubhah – gaji dan “incentive” dari pekerjaan bank, dan dari hasil kutipan sewa rumah berkenaan sebelum ianya berjaya dijual pada tahun lepas)
2) Adakah saya berhak ke atas wang yang diterima dari hasil jualan ini, dan berapakah kadar yang dibenarkan untuk kegunaan diri sendiri dan ahli keluarga saya?
3) Adakah saya dibenarkan untuk mengambil wang modal yakni dari bayaran deposit 7% rumah tersebut, iaitu sebanyak RM23,100.00 memandangkan ianya adalah dari sumber Halal (dari akaun simpanan KWSP sebelum terlibat dalam dunia perbankan konvensional bermula pada tahun 2014) ?
4) Adakah wang tersebut perlu disalurkan kepada pihak Baitulmal dan berapakah kadar yang diperlukan bagi tujuan pembersihan harta / wang tersebut?
5) Adakah status wang yang diterima dari hasil kutipan sewa rumah berkenaan sebelum ini (sebelum ianya berjaya dijual pada tahun lepas) turut dianggap sebagai wang syubhah?
6) Adakah wajib untuk saya menggantikan semula wang dari hasil kutipan sewa yang telah pun dibelanjakan keseluruhannya, iaitu sebanyak RM72,000.00 (bagi tempoh 6 tahun sewaan rumah berkenaan) dan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal?
7) Adakah wajib untuk saya menggantikan semula wang gaji bulanan dan wang “incentive” yang telah pun dibelanjakan keseluruhannya, iaitu lebih kurang RM400,000.00 (bagi tempoh pekerjaan saya hampir 10 tahun di bank berkenaan) dan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal?
Sebagai maklumat tambahan, saya kini tidak bekerja dan bergantung kepada wang pencen arwah suami saya dan sedikit wang simpanan Tabung Haji untuk keperluan diri sendiri, tanpa ada tanggungan anak dan sebarang komitmen bulanan lain. Selain dari itu, saya juga mempunyai wang simpanan KWSP (simpanan Shariah) kurang dari RM200,000.00 setakat hari ini dan bercadang untuk turut membuat pembersihan harta / wang tersebut setelah dibenarkan untuk membuat pengeluaran sepenuhnya pada umur 55 tahun kelak.
Mohon pencerahan terperinci dari Tuan Mufti.
Terima kasih.
Jawapan
Kesedaran dan keinsafan pihak puan terhadap kesalahan yang dilakukan adalah sifat yang terpuji. Semoga Allah SWT menerima taubat puan dan diampun segala dosa.
Secara umumnya, bekerja sebagai "debt collector" atau pemungut hutang bagi pihak pemberi hutang seperti bank adalah diharuskan. Berdasarkan kenyataan yang diberikan, portfolio pekerjaan puan adalah hampir sama di antara kovensional dan islamik. Oleh itu, boleh dianggap bahawa separuh daripada gaji bulanan yang diterima adalah diharuskan dan separuh daripadanya adalah tidak patuh syariah. Begitu wang 'incentive' yang diterima daripada pengstukturan semula pinjaman yang melibatkan riba sahaja dianggap sebagai tidak patuh syariah. Manakala wang 'incentive' daripada pengstukrutan semula pembiayaan islamik adalah diharuskan. Ini bermakna tidak semua gaji mahupun wang 'incentive' yang diterima tidak patuh syariah. Bagi memudahkan pengiraan, dianggap bahawa hasil pendapatan adalah 50% adalah halal dan 50% adalah tidak patuh syariah.
Menjawab soalan yang diajukan:
1. Hasil daripada jualan rumah bukanlah sepenuhnya dari sumber yang tidak patuh syariah. Oleh itu, harus bagi puan untuk memanfaatkan wang tersebut selepas ditolak sumber kewangan yang tidak patuh syariah.
2. Hasil daripada jualan rumah tersebut hendaklah ditolak dengan sumber yang tidak patuh syariah:
3% deposit, 9.900 /2 = 4,950
Legal fee, 7,000 /2 = 3,500
Bayaran bulanan, RM129,000 /2 = 64,500
Jumlah keseluruhan modal, 23,100 + 9,900 + 7,000 + 129,000 = 169,000
Jumlah keseluruhan wang tidak patuh syariah: 4,950 + 3,500 + 64,500 = 72,950. (43% daripada keseluruhan modal)
Jumlah keseluruhan modal yang halal, 23,100 + 72,950 = 96,050 (57% daripada keseluruhan modal)
Oleh itu, hasil tidak patuh syariah yang perlu dibersihkan adalah 43% daripada 108,000 = RM46,440
3. Diharuskan mengambil modal deposit 7% sebanyak 23,100 yang diambil dari simpanan KWSP.
4. Perlu salurkan ke Baitulmal dan pada kadar RM46,440.
Tidak wajib menyerahkannya kepada Baitulmal seandainya wang itu telah dibelanjakan.
Memadai dengan istighfar dan bertaubat.
Namun sekiranya mempunyai kemampuan, diharuskan untuk menggantikannya walaupun secara beransur-ansur kepada phak Baitulmal.
5. Adakah status wang hasil sewa rumah sebelum jualan dianggap sebagai syubhah?
Ya, sebahagiannya kerana modal rumah datang dari campuran halal & syubhah.
Separuh daripadnya adalah halal dan separuh daripadanya adalah tidak patuh syariah.
6. Adakah wajib ganti semula wang sewa RM72,000 yang telah dibelanjakan?
Tidak wajib ganti semula, iaitu separuh daripada hasil sewaan, kerana wang itu sudah digunakan.
Memadai dengan istighfar dan bertaubat.
Namun sekiranya mempunyai kemampuan, diharuskan untuk menggantikannya walaupun secara beransur-ansur kepada phak Baitulmal.
7. Adakah Wajib ganti semula wang gaji & insentif RM400,000 yang telah dibelanjakan?
Sama prinsip dengan hasil wang sewaan di atas.
Disarankan agar puan terus bertaubat dan memperbanyakan melakukan amalan soleh untuk mendapatkan keampunan dan rahmat daripada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada terlanggar taklik yg berbunyi "
Dengan Nama Allah, aku bersumpah,
Aku (nama suami), suami kepada (nama isteri),
Jika aku berlaku curang, melakukan perkara yg bertentangan dengan syarak seperti melakukan maksiat bersama orang lain dan memuat turun aplikasi berhubungan dengan wanita lain selain isteriku atas dasar ingin melampias nafsu kerana amarah atau suka suka, maka jatuh talak satu terhadapnya.
Dah buat pengesahan lafaz cerai dan hakim jatuhkan talak 1 pada perbuatan memuat turun aplikasi tu. Saya ada download apps "Omi" pada pertengahan tahun 2023. Sekarang tahun 2025. Saya tak ingat yg saya ada lafaz rujuk atau tidak. Saya rasa macam ada, rasa macam tak. Sebab selama tahun 2023,2024 dan 2025. Ada jugak saya keluar dgn perempuan lain untuk lepaskan nafsu. Jadi selepas setiap kali perkara berlaku, saya lafaz rujuk sorang2 dalam kereta. Dan saya rasa dalam tempoh iddah saya ada bgitau isteri tentang perkara pelanggaran yg lama dan saya rujuk isteri tanpa memberitahu perkara sebenar. Jadi banyak berlaku rujuk sampaikan saya tak ingat rujuk kali pertama download "omi". Selepas rujuk sorang2 dalam kereta, saya ada inform isteri atau tak. Jadi sekarang saya tak pasti ada bgitau isteri tentang rujuk dan dalam iddah atau tak. Jadi saya perlu akad nikah baru untuk hilangkan syubhah ini ke?
Jawapan
Berdasarkan kenyataan tuan di atas, perceraian tuan telah disahkan oleh Mahkamah Syariah dan berkaitan rujuk pula adalah sah.
Oleh yang demikian, tuan hendaklah segera ke mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran atau Mahkamah Syariah untuk mengesahkan rujuk. Keterangan tuan dan bekas isteri sangat penting bagi membantu Pejabat Agama Islam atau Mahkamah Syariah dalam membuat keputusannya nanti.
Sekian terima kasih
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Merujuk kepada isu yang sedang tular di media sosial baru-baru ini, di mana berlaku sistem glitch pada platform pembelian dalam talian (khususnya, GrabDelivery x Guardian), menyebabkan harga beberapa barangan dipaparkan pada nilai RM0.00.
Ramai yang berpendapat pada mulanya ianya bukan sistem glitch tapi dianggap sebagai sale. Ramai pengguna, termasuk umat Islam, mengambil kesempatan di atas kesilapan sistem ini dengan membuat pesanan pembelian dalam kuantiti yang banyak (seperti beratus botol produk penjagaan diri), di mana mereka hanya perlu membayar caj penghantaran, sedangkan nilai sebenar barangan tersebut mencecah ratusan atau ribuan ringgit.
Kami memahami bahawa dalam kontrak jual beli (akad), rukun utamanya adalah wujudnya saling redha (keredhaan) antara penjual dan pembeli serta harga yang dipersetujui. Dalam kes ini:
Adakah wujud keredhaan (keredhaan) daripada pihak penjual (Guardian / Grab) apabila harga barangan utama secara jelas tersalah papar (kesilapan harga yang ketara atau Ghalat yang tidak disengajakan)?
Apakah hukum Syarak bagi perbuatan pembeli yang mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa harga RM0.00 adalah satu kesilapan yang ketara, namun sengaja mengambil kesempatan untuk membuat pembelian dalam kuantiti yang besar? Adakah tindakan ini dikira sebagai memakan harta orang lain secara batil (haram)?
Mohon pencerahan daripada pihak tuan mengenai hukum Syarak bagi situasi jual beli yang terjadi akibat kesilapan atau glitch harga sistem ini agar umat Islam dapat menjauhi perkara yang syubhah dan memastikan rezeki serta harta yang dimiliki adalah halal.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya antara rukun sah akad jual beli ialah wujudnya keredaan kedua-dua pihak, berdasarkan firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
Apabila berlaku ghalat (kesilapan jelas) dalam penentuan harga, para fuqaha menyatakan bahawa reda penjual tidak wujud, kerana keredaan hanya sah apabila ia didasarkan kepada pilihan sedar dan maklumat yang betul mengenai harga. Maka jual beli tersebut tidak memenuhi syarat reda dari pihak penjual kerana paparan RM0.00 adalah ghalat yang ketara, bukan harga sebenar. Oleh yang demikian akad yang berlaku berada dalam kategori akad fasid (cacat), dan syarikat berhak membatalkan transaksi.
Manakala bagi pembeli yang mengetahui bahawa harga RM0.00 adalah suatu kesilapan yang nyata, tetapi tetap melakukan pembelian dalam kuantiti yang besar demi mengaut keuntungan, maka perbuatan tersebut dikategorikan sebagai:
a. Memakan harta secara batil (الْبَاطِل)
Ini selari dengan ayat al-Quran dari surah al-Nisa' ayat 29 yang telah disebutkan di atas.
b. Termasuk dalam larangan menganiaya pihak lain
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada 'Ubadah Bin al-Somit RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh melakukan mudarat dan tidak boleh membalas mudarat (Riwayat Ibnu Majah)
Mengambil barang bernilai secara percuma kerana kesilapan sistem adalah suatu bentuk eksploitasi yang memudaratkan penjual.
c. Termasuk juga unsur tidak amanah dan tidak beretika
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW menegaskan bahawa:
Maksudnya: Orang Islam terikat dengan syarat-syarat (akad) mereka. (Riwayat Abu Daud)
Dalam kes ini, “syarat harga” hakikatnya tidak pernah wujud kerana RM0.00 bukan harga yang dimaksudkan penjual.
Sekian, terima kasih.
Soalan
Salam Ustaz,
Saya sedia maklum Isu Atomy itu Haram muncul sekitar tahun 2021 dengan jawapan sekiranya Mereka Terlibat dengan Kristinanisasi, wajib untuk kita (orang Islam) tidak bermuamalah dengan mereka.
Lalu, pihak Atomy Malaysia sudah memberi laluan Audit Kepatuhan Syariah dijalankan, dan selepas 1 Tahun, Mereka (Atomy Malaysia) Dapat Sijil Patuh syariah sejak Mac 2022 dan sehingga kini. (MS ISO 1900:2014)
Tapi isu Kristianisasi masih diputar hingga kini. Bahkan lebih teruk lagi apabila melibatkan cercaan di Sosial Media.
Lalu, Pihak syarikat Induk di Korea / Malaysia sudah mengeluarkan pekeliling tentang Syarikat tidak menggunakan dana untuk badan agama.
Saya Pening kepada pandangan mana saya harus pegang apabila Usahawan bertanya kepada saya.
Soalan saya: Bukan kah Panel Syariah itu badan yang tertinggi memantau dan mengiktiraf kepatuhan syariah sesebuah perniagaan supaya bebas dari syubhah terutama syarikat MLM dalam menentukan kesucian pendapatan ahli?
Mohon pandangan ustaz jawab sekali lagi isu ini yang nyata telah membuatkan perselisihan faham, pergaduhan berpanjangan dan tuduhan berat kpd mereka (org Islam) yang sertai Atomy sama seperti mengembangkan kristian.
Terima Kasih Ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, asal suatu perkara adalah harus sebagaimana kaedah fiqhiyyah:
Maksudnya: Asal pada sesuatu perkara adalah harus.
Hukum menjalankan perniagaan yang halal dan tidak bertentangan dengan hukum syarak adalah harus. Bagaimanapun apabila diketahui suatu perniagaan itu mempunyai hubungkait dengan penyaluran dana dalam usaha-usaha penyebaran agama Kristian, maka terdapat unsur syubhah di situ. Bersubahat atau bekerjasama dalam usaha penyebaran agama Kristian adalah dilarang. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya : dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Bagi mengelakkan sebarang keraguan dan was-was adalah lebih baik sekiranya mengelakkan diri daripada terlibat dalam perniagaan ini.
Memang benar, tugas utama Panel Penasihat Syariah dalam sesebuah organisasi adalah sebagai pengawal selia dalaman yang memastikan setiap rantaian operasi, kontrak, dan agihan pendapatan tidak bercanggah dengan prinsip Syariat Islam. Keberadaan panel ini bertujuan untuk memelihara maslahat ummah dan memastikan ekonomi Muslim bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan.
Namun begitu, dalam mendepani isu yang melibatkan khilaf (perbezaan pandangan) atau keraguan yang timbul daripada isu sampingan, setiap individu Muslim bertanggungjawab untuk membuat penilaian yang matang berdasarkan ilmu dan fakta. Setelah usaha mencari kebenaran (Tabayyun) dilakukan, masyarakat berhak membuat pilihan atas apa yang diyakini paling selamat bagi agama dan dunianya, manakala urusan selebihnya berserah kepada ketentuan Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa mencari kejelasan dalam setiap tindakan agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang syubhah. Hal ini selaras dengan pesanan Baginda Nabi Muhammad SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hasan bin 'Ali bin Abi Thalib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Riwayat At-Tirmizi)
Sekian, terima kasih