BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Panel Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Berkenaan imam terlebih rakaat, saya telah meneliti persoalan pengunjung sebelum ini berdasarkan pautan ini, dan jawapan difahami dengan baik. 

https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=453

Situasi ini berlaku pada waktu isyak 12 September 2024 bersamaan malam 09 Rabi'ul Awwal 1446H di Surau al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor. Setelah seorang makmum menyebut Subhanallah atas imam terlebih rakaat namun imam tetap berdiri, makmum kedua menyebutkan semula sebanyak 3 kali, dan imam tetap meneruskan rakaat kelimanya. Ada makmum yanh mengikuti imam dan ada yang mufaraqah. 

Setelah selesai imam memberi salam, imam memaklumkan bahawa jemaah hanya perlu menegur (dengan menyebut Subhanallah) sekali sahaja, dan imam menyebutkan beliau meneruskan rakaat tersebut kerana sudah mula membaca surah al-Fatihah untuk rakaat kelima tersebut. Imam juga menyebut hal ini sepertimana yang kita pelajari daripada Ustaz Ahmad Nazri, pegawai nikah kariah Bandar Tun Hussein Onn yang memberi penerangan ini ketika memberi kuliah di surau tersebut, dan juga perkara ini imam menyebutkan telah digazetkan di dalam tatacara solat Negeri Selangor. 

Saya faham tentang makmum perlu mufaraqah sekiranya tahu terlebihnya rakaat, namun sebagai imam, adakah benar apabila telah membaca surah al-Fatihah, masih perlu meneruskan rakaatnya yang kelima itu? Dan adakah gazet itu benar?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته   

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد 

Apabila seseorang imam atau makmum menyedari dia telah menambah rakaat, maka wajib baginya untuk kembali ke rukun yang sepatutnya dan rakaat tambahan tersebut dikira sebagai perbuatan sia-sia dan tidak membatalkan solat. Adapun sekiranya tidak kembali ke rukun yang sepatutnya sedangkan dia menyedari rakaat tersebut adalah rakaat tambahan, maka dia dikira menambah rukun secara sengaja dan solatnya batal sama ada setelah mula membaca surah al-Fatihah atau sebaliknya.

Jabatan ini tidak dapat mengesahkan kewujudan gazet atau warta yang dimaksudkan kerana berdasarkan semakan yang dilakukan tidak menjumpai gazet atau warta tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 10

message user image